KANGAR: Kementerian Komunikasi akan meneliti struktur Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bagi tujuan penyelarasan selepas bekas Ketua Pengarahnya, Dr Mohd. Khairuddin Othman diarahkan melepaskan jawatan itu serta merta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, kementerian belum membuat sebarang lantikan baharu bagi kekosongan jawatan tersebut.
“Penyelarasan yang ingin dilakukan itu adalah dari sudut jawatan, organisasi dan lain-lain. Malah kita juga berhasrat untuk pindahkan pejabat J-KOM ke kementerian dan fungsinya juga akan diteliti semula,” katanya kepada pemberita selepas Program Kita Madani Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, di sini, hari ini.
Pada 24 September lalu, media melaporkan Mohd. Khairuddin yang memegang jawatan Ketua Pengarah J-KOM telah diarahkan untuk melepaskan kedudukan itu serta-merta selepas hanya enam bulan berkhidmat.
Khairuddin sebelum ini dilantik selepas Datuk Mohammad Agus Yusoff bertindak melepaskan jawatan itu pada 15 November tahun lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Fahmi berkata, penganjurannya adalah bertujuan bagi menyampaikan maklumat dan informasi buat penduduk setempat berhubung manfaat yang disediakan kerajaan menerusi pelbagai agensi.
“Kita juga akan teruskan program ini di beberapa negeri lagi dan pengakhirannya akan dianjurkan di Sarawak nanti. Harapan saya agar Komuniti Madani ini dapat memainkan peranan untuk membantu menterjemahkan apa yang kita sampaikan secara rasmi dalam bentuk format mudah difahami dan diserap oleh komuniti setempat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihati semua pihak agar dapat membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu berhubung sebarang kemaskini yang disebarkan melalui media sosial.
Tambahnya, orang ramai juga perlu membuat semakan terhadap sebarang kandungan yang disebarkan di laman sosial dengan merujuk kepada laporan-laporan media arus perdana.
“Di sinilah media memainkan peranan penting untuk melakukan semak dan imbang, malah saya juga gesa kita berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sebarang video atau maklumat ditularkan,” katanya. – UTUSAN