IPOH: Naib juara GP Terengganu, Terengganu Turtles terkandas di suku akhir STL Premier Emas Anuar GP Perak apabila tumpas 0-2 kepada ATM Guardians di Stadium Indera Mulia di sini semalam.
Kekalahan 14-17, 11-15 itu menyaksikan Terengganu Turtles gagal ke separuh akhir.
Sebaliknya ATM buat pertama kali selepas dua sirkit berjaya mara sebegini jauh.
Dalam pertarungan selama sejam itu, trio ATM, Muhammad Adam Aiman, Muhammad Afifuddin Razali dan Norfaizzul Abd Razak mempamer permainan bertenaga untuk mencatat kemenangan.
Sebaliknya Teerapat Promin (tekong) Muhammad Khairul Aman (apit kanan) dan Muhammad Afif Jazimin (apit kiri) yang cemerlang di pusingan awal tidak terdaya memberi saingan.
Walaupun menggantikan Teerapat dengan Muhammad Zulkifli di hujung set pertama tetapi gagal menyekat kemaraan Guardians.
Sementara itu, Selangor Piston bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan Johor Tigris sekaligus mara ke separuh akhir.
Tumpas 13-15 pada set pertama, trio Selangor Zuhri Mohd Zaini, Muhammad Arif Daniel dan Ariff Mohd Badri mempamer semangat juang kental untuk meraih kemenangan 17-16 dalam pertarungan 43 minit.
Set penentuan menyaksikan Selangor Piston mengutip mata demi dan hanya mengambil masa 25 minit untuk menamat permainan 15-7.
Perak Bison juga layak ke separuh akhir dengan menumpaskan KPTM Masum Knights 2-0.
Bagaimanapun Kritsada (Meor Zulfikar), Nor Aizat Nordin dan Asyraf Hadi terpaksa menggunakan segala pengalaman untuk menewaskan lawan 17-15, 17-15 dalam tempoh hampir sejam. – UTUSAN