Stadium Manjung gelanggang baharu Perak FC - Utusan Malaysia

Stadium Manjung gelanggang baharu Perak FC

NEOW Choo Seong (dua dari kanan) ketika meninjau Stadium Manjung hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Stadium Manjung) sudah bersedia menjadi gelanggang baharu Perak FC bagi mengharungi baki 10 perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia musim ini.

Perlawanan pertama di stadium yang mampu memuatkan 15,000 penonton itu adalah pada Sabtu ini menentang Sabah FC.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, wakil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengadakan lawatan ke stadium itu minggu lalu dan berpuas hati terhadap kualiti padang dan sistem saliran perparitan memenuhi kehendak perlawanan MFL.

“Buat masa ini, semua perlawanan diadakan pada sebelah petang kerana kecerahan lampu limpah Stadium Manjung belum dapat memenuhi piawaian MFL iaitu sekurang-kurangnya 1,200 lux.

“Ketika ini kecerahan lampu limpah stadium antara 800 hingga 900 lux dan kita berusaha untuk meningkatkan kuasanya dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan ini,” katanya pada sidang media di pejabat MPM hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong; Pengarah Teknikal Perak FC, Raja Azlan Shah Raja So’ib dan Pengarah Unit Pusat Setempat MPM yang juga Pengurus Manjung FC, Abdul Rahim Syah Khalib.

Perak FC terpaksa menukar gelanggang ke Stadium Manjung selepas Stadium Perak dijangka ditutup selama kira-kira lapan bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula akhir bulan ini sehingga Jun tahun depan.

Dalam pada itu, Choo Seong yakin perubahan gelanggang perlawanan tidak akan menjejaskan prestasi pasukan The Bos Gaurus itu sebaliknya mampu meneruskan rentak tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Beliau juga percaya tidak akan berlaku penangguhan kali ketiga bagi perlawanan menentang JDT kerana Stadium Manjung tidak mempunyai masalah air bertakung apabila hujan lebat.

“Hujan adalah di luar kawalan kita dan saya yakin keadaan padang di Stadium Manjung adalah lebih baik berbanding Stadium Perak (apabila hujan) berdasarkan perlawanan diadakan di sini sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya