SPRM tidak terima arahan jalankan siasatan - Azam Baki

SPRM tidak terima arahan jalankan siasatan – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah menerima arahan daripada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan berkaitan isu rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau sendiri tidak menerima apa-apa arahan daripada pihak-pihak tertentu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim   ketika menjalankan siasatan.

Menurut  beliau, tidak wajar menuduh SPRM melakukan siasatan hanya selepas menerima arahan pihak tertentu.

“Saya hanya menjalankan tugas mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang.

“Kami di SPRM juga tiada tempoh masa kerana jika ada aduan maklumat disalurkan, kami akan nilai maklumat itu dan jalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas rakaman program Soal Rakyat di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Ditanya berhubung kenyataan Perdana Menteri berkaitan sikap ‘korup’ pemimpin negara, Azam berkata, kemungkinan apa yang disebut Anwar  (pemimpin korup) adalah berhubung kes yang lepas dan masih lagi timbul dan dilaporkan kepada pihaknya.

Katanya, berdasarkan pemantauan SPRM, setakat ini tidak banyak isu dilihat dengan kerajaan Madani.

“Selain itu, rekod kita daripada maklumat (diterima SPRM) selain tohmahan juga tidak begitu serius. Cuma ada perkara hanya melibatkan isu tatakelola dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu Anwar dilaporkan berkata, sikap korup pemimpin negara terdahulu dalam pentadbiran menyebabkan masalah kemiskinan terus membelenggu rakyat dan perkara itu tidak selesai meskipun kerajaan silih berganti.

Tanpa merujuk mana-mana individu secara khusus, beliau mencabar bekas pejuang Melayu terbabit supaya memulangkan semula harta negara yang disimpan di luar negara kepada rakyat.

“Kita bersikap tegas, siapa yang punggah kekayaan berbilion ringgit, tidak peduli pemimpin dulu atau sekarang, tindakan harus diambil,” katanya.

SPRM juga sebelum ini  menafikan laporan sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa yang mendakwa pihaknya menerima arahan daripada pihak tertentu untuk melakukan siasatan berkaitan kes rasuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya