SPRM syor wujud SOP perlombongan nadir bumi

SPRM syor wujud SOP perlombongan nadir bumi

AZAM Baki (dua, kiri) ketika menyerahkan sijil penghargaan khas kepada wakil kepada wakil Majlis Sukan Politeknik Malaysia pada Majlis Apresiasi APTA Tahun 2024 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang spesifik bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pewujudan SOP berkenaan adalah penting bagi mengelak daripada berlakunya penyelewengan hasil REE.

“Kita ambil contoh berhubung (perlombongan) REE, daripada pengalaman penyiasatan kita, REE ini tiada SOP yang sebenar.

“Kalau tiada SOP semua orang boleh melombong tanpa kebenaran dan ia merupakan satu perbuatan mencuri, salah guna dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Pada majlis itu, Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah diumumkan sebagai penerima APTA bagi tahun 2024.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pewujudan SOP itu juga perlu melibatkan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang jelas bagi mengekang aktiviti perlombongan tanpa kebenaran.

“SOP ini (bergantung) prosedur kerajaan negeri, namun demikian kementerian yang berkaitan (juga terlibat) untuk pengeluaran REE, jadi ia bukan kerajaan negeri sahaja, tapi tak silap saya ia perlu mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“Penambahbaikan adalah diperlukan, mungkin esok (lusa) mineral baru pula ada. Sekarang kita sudah ada bijih timah, bijih besi dan REE, kita tidak tahu (akan) datang bahan mineral lain (ditemui),” katanya.

Menerusi ucapannya, Azam berkata, adalah amat penting untuk sesebuah organisasi atau kerajaan negeri mengkaji dan menambah baik amalan, sistem serta prosedur sedia ada, agar boleh menutup ruang-ruang kepada rasuah.

Sehubungan itu, Bahagian Penyiasatan Tatakelola Ibu Pejabat SPRM dan Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM negeri sedia membantu mana-mana organisasi dalam menambah baik amalan, sistem dan prosedur.

“Sebagai contoh, kes yang berlaku pada tahun lepas berkaitan penyelewengan hasil unsur nadir bumi atau REE juga antara puncanya adalah kelemahan pemantauan dan ketiadaan SOP berkaitan penguatkuasaan berhubung REE,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ketua-ketua agensi bahawa penambahbaikan tatakelola yang disyorkan oleh SPRM hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan oleh agensi yang terlibat.

“Syor-syor yang dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi bukan sahaja mampu meminimakan risiko rasuah dan penyelewengan dalam organisasi, malah berupaya mencegah ketirisan hasil kerajaan. Seterusnya, saya optimis bahawa hasil agensi juga pasti akan meningkat,” ujarnya.

Sehingga suku tahun ketiga 2024, sebanyak 422 syor penambahbaikan hasil daripada penyiasatan tatakelola yang dilaksanakan SPRM telah diberikan kepada agensi dengan 229 syor penambahbaikan atau 54.3 peratus telah berjaya dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya