SK Sembulan pertahan kejuaraan tarian Limbai

SK Sembulan pertahan kejuaraan tarian Limbai

PERSEMBAHAN murid SK Sembulan yang berjaya pertahankan kejuaraan pada Pertandingan Seni Warisan Juara Limbai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun sesi latihan cuma dua minggu, hasil kerja keras Kumpulan Selangkah Tari Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu membuahkan hasil apabila berjaya muncul juara bertahan Pertandingan Seni Warisan Juara Limbai.

Pertandingan yang diadakan di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) di Tuaran baru-baru iin menyaksikan SK Sembulan mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut bagi kategori sekolah rendah.

Pengurus Pasukan, Dayangku Nuurul Fattihah Umi Qalthum berkata, memandangkan sekolah itu menang pada tahun lepas maka, ia memberi cabaran besar kepada mereka untuk mengekalkan kejuaraan tersebut.

Beliau berkata, biar pun muridnya hanya mempunyai masa dua minggu untuk berlatih namun, hasil kerja keras dan komitmen yang diberikan membolehkan mereka mencipta kejayaan untuk tahun kedua berturut-turut.

Katanya, seramai 10 orang murid Tahun Lima dan Tahun Enam menyertai pertandingan tersebut termasuk dua orang penari simpanan.

“Memandangkan bukan semua murid yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada suku kaum Bajau Sama maka, ia memberi ruang kepada murid-murid itu mempelajari budaya kaum Bajau Sama.

“Melalui pertandingan ini, murid diberi pendedahan untuk belajar bukan hanya gerak tari tetapi juga adat dan budaya kaum Bajau Sama. Secara tidak langsung, mereka turut mendapat manfaat dengan belajar budaya kaum lain dan mengenali seni kraftangan Bajau Sama,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Berkongsi tentang persediaan kostum untuk pertandingan itu, Nuurul Fattihah berkata, mereka perlu berbelanja kira-kira RM1,000 bagi menyewa set baju tradisional Bajau Sama.

 

Bagi kategori tarian kreatif pula, kostum peserta disediakan oleh guru maka, guru-guru akan bergotong-royong menyiapkan pakaian tarian kreatif ini sesuai dengan gerak tari yang akan dipersembahkan.

Kata beliau, kos untuk membuat sendiri pakaian tradisi itu terlalu mahal maka, mereka hanya mampu menyewa pakaian sahaja.

“Walau bagaimanapun, penyertaaan murid dalam pertandingan sebegitu bukanlah kerana hendak memenangi wang sebaliknya, untuk memberi pengalaman kepada mereka,” katanya.

Menurut beliau, Kumpulan Selangkah Tari di sekolah itu turut menerima undangan untuk membuat persembahan-persembahan tarian pada majlis-majlis rasmi kerajaan dan juga majlis perkahwinan.

Selain SK Sembulan, turut mengekalkan kejuaraan adalah Sekolah Menengah (SM) ST Lok Yuk bagi kategori sekolah menengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN