Sistem peparitan tidak sempurna punca banjir SMK Lambor Kiri - Utusan Malaysia

Sistem peparitan tidak sempurna punca banjir SMK Lambor Kiri

KEADAAN banjir yang menjejaskan sesi persekolahan pelajar SMK Lambor Kiri dekat Parit. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sistem perparitan dalaman sekolah yang tidak sempurna dan tidak diselenggara dengan baik menjadi punca banjir termenung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri dekat Parit.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri,  Khairudin Abu Hanipah berkata, sistem perparitan itu di bawah bidang kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, struktur sistem perparitan sedia ada iaitu jenis parit tanah tidak mampu untuk menampung air larian hujan yang banyak menyebabkan banjir termenung.

Beliau berkata, oleh itu, air larian di kawasan sekolah tidak dapat keluar dengan sempurna ke parit buang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sekolah tersebut dibangunkan di kawasan bendang sawah padi dan bentuk muka bumi serta geografi persekitaran yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit menyebabkan semua air larian hujan dari ladang itu mengalir masuk ke kawasan sekolah.

“Kawasan sekolah juga berada pada kedudukan rendah. Kedudukan sekolah itu juga terletak berhampiran dengan terusan utama bagi Pengairan Seberang Perak yang mana ketika musim menanam padi, air perlu disalurkan ke petak sawah yang akan menyebabkan berlakunya kenaikan aras air di sepanjang jajaran terusan utama tersebut,” katanya dalam Facebook beliau.

Khairudin berkata, JPS Daerah telah memasang dua pintu kepak masing -masing pada 7 Oktober 2022 dan 25 Ogos 2023 di kawasan parit buang bagi mengurangkan impak banjir di kawasan sekolah itu.

Katanya, pemasangan pam mudah alih untuk mengeluarkan air yang bertakung di kawasan sekolah juga telah dilaksanakan oleh JPS Daerah Perak Tengah pada 9 Oktober lalu.

Jelasnya, JPS Daerah telah mengadakan perjumpaan bersama agensi berkaitan termasuk wakil daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri bagi membincangkan perkara ini.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD akan membuat permohonan peruntukan kecemasan untuk pelaksanaan kerja-kerja segera di dalam kawasan sekolah tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan masalah banjir termenung di sekolah itu menjejaskan sesi persekolahan pelajar apabila mereka diberi cuti dan mengikuti kelas sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Keadaan itu menyebabkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki ujian percubaan di bangunan asrama sekolah tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya