Sindiket jual sijil cuti sakit palsu tumpas

Sindiket jual sijil cuti sakit palsu tumpas

Balveer Singh Mahindar Singh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket yang aktif menjual sijil cuti sakit palsu di bandar raya ini tumpas dengan penahanan enam individu dalam beberapa serbuan di Iskandar Puteri, Plentong, Skudai dan Masai, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 31 tahun.

Menurutnya, operasi dijalankan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun pada 17 Oktober lalu.

“Dalam operasi minggu lalu itu, kita turut merampas 1,363 sijil cuti sakit disyaki palsu, tujuh kad bank pelbagai jenis, tujuh telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha dan wang tunai berjumlah RM40,000.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menjual sijil cuti sakit kepada golongan pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua suspek direman di Mahkamah Johor Bahru bermula 21 Oktober lalu dengan dua daripada mereka telah dituduh di mahkamah sama, Khamis lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420, Seksyen 471, Seksyen 468, Seksyen 474 dan Seksyen 472 Kanun Keseksaan serta Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mendakwa baki suspek terlibat. Saya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau terkesan dengan aktiviti tersebut tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Balveer Singh menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam tindakan pemalsuan dokumen kerana tindakan itu merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya