KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pengedaran dadah menjadikan kenderaan pemilik yang meninggal dunia tanpa dan tukar hak milik sebagai stor dadah, terbongkar apabila ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam lima serbuan di ibu negara dan Johor, 5 Oktober lalu.
Serbuan berasingan pada 11.45 pagi itu turut menahan tujuh suspek berusia antara 34 hingga 48 tahun serta merampas 269 kilogram (kg) pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, JSJN menahan dua lelaki berusia 45 dan 48 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Kuala Lumpur dan merampas dadah syabu seberat 71.26 kg yang ditemukan dalam Proton X50 dan Proton Waja.
Katanya, di lokasi sama, polis menjalankan serbuan kedua dan menahan seorang lelaki sebagai runner yang dipercayai terbabit dengan sindiket dadah.
“Pemeriksaan seterusnya berpandu suspek ketiga pada 2 petang, pasukan serbuan pergi ke tempat letak kereta di Kiara East dan menemukan dadah syabu seberat 40.69 kg dan ketamin 19.49 kg di dalam Toyota Prado.
“Serbuan keempat dilancarkan pada pukul 1.45 petang di sebuah rumah di Kampung Rawang Muar, Johor dan menahan dua lelaki berusia 46 tahun serta seorang wanita warga Thailand yang juga kekasih suspek berusia 42 tahun, bersama dadah heroin seberat 138 gram, 30 biji Eramin 5 dan empat biji ekstasi,” katanya dalam sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan terakhir dilakukan di sebuah kondominium di Muar, Johor sebelum menahan lelaki tempatan yang juga ketua sindiket berusia 46 tahun dan kekasihnya warga Thailand berusia 42 tahun, serta merampas dadah syabu seberat 19.19 gram dan 30 biji pil Eramin 5.
“Sindiket ini mula aktif sejak awal tahun ini, turut menggunakan tokong Cina bagi melindungi aktiviti dadah.
“Selain itu, mereka juga menggunakan kondominium mewah serta kenderaan pemilik yang sudah meninggal dunia dan kenderaan tanpa tukar hak milik untuk dijadikan stor dadah,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman antara empat hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952.- UTUSAN