Sindiket dadah antarabangsa dari benua Amerika tumpas

Sindiket dadah antarabangsa dari benua Amerika tumpas

ANIS Rizana Mohd Zainudin (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah jenis methamphetamine pada sidang akhbar berhubung JKDM tumpaskan tiga kes penyeludupan dadah di Kompleks Kastam Kargo KLIA. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup dadah dari benua Amerika ke Timur Tengah membabitkan dadah jenis Methamphetamine seberat 207 kilogram (kg) bernilai RM6.7 juta.

Dadah itu berjaya dikesan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kargo yang transit di zon komersial bebas (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kes itu berjaya dikesan hasil maklumat dan risikan diberikan Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, dadah itu disembunyikan dalam sebuah mesin industri jenis Kawalan Berangka Komputer (CNC) seberat 2.5 tan.

“Lebih licik, 40 bungkusan dadah itu diletakkan dalam ruang dalam mesin itu sebelum diisi kapur dan kemudian disemen bagi mengelak dikesan mesin pengimbas.

“Siasatan awal mendapati, dadah itu dipercayai akan diedarkan ke negara-negara di Timur Tengah manakala, mesin itu pula diikrar sebagai CNC biarpun ia tidak lagi berfungsi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, ia adalah kes pertama berjaya ditumpaskan pihaknya membabitkan cubaan menyeludup dadah yang disembunyikan dalam mesin industri.

Anis berkata, siasatan juga mendapati, sindiket itu membuat pengikraran yang tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai CNC iaitu sebuah mesin pengukur dan menyembunyikan dadah berbahaya di dalam ruangan khas.

“Kejayaan ini merupakan usaha-usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik di antara Kerajaan Arab Saudi, Aviation Security (AVSEC) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Unit, Cawangan dan Bahagian di JKDM.

“Methaphetamine adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian III, Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya