IPOH: Simulasi tragedi seperti banjir besar akibat limpahan air dari empangan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki terkandas di gunung merupakan antara persediaan yang dilakukan pasukan penyelamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, simulasi yang dijalankan menerusi Rural Emergency Disaster Exercise (REDEX) itu juga mampu memberi gambaran awal kepada pasukan penyelamat dalam memperkasakan koordinasi operasi sekiranya berlaku bencana.
Malah katanya, menerusi simulasi itu, ia bukan sahaja dapat menguji keupayaan mobilisasi aset dan peralatan JBPM tetapi juga aset penyelamatan agensi lain.
“Simulasi berskala besar ini dibuat berdasarkan tiga senario membabitkan operasi menggunakan jalan darat dan air selain udara menerusi penerbangan Medevac (Medical Evacuation).
“Operasi ini diselaraskan membabitkan semua agensi penyelamat dengan mengguna pakai arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) No 1 yang menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana,” katanya ketika ditemui pada REDEX Kinta Utara 2024 di Taman Rekreasi Kolam Sungai Pinji di Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman; Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Menurut Sayani, selain senario banjir akibat limpahan air Empangan Sultan Azlan Shah di Hulu Kinta yang menyebabkan tiga kampung terjejas dan operasi SAR pendaki di Gunung Korbu, pasukan penyelamat turut bergelut menyelamat 10 mangsa lain yang terhidu klorin di Loji Rawatan Air Sungai Kinta.
Katanya, ketiga-tiga senario itu berjalan serentak sekali gus menguji keupayaan pasukan penyelamat dalam menangani insiden berkenaan.
“Menerusi latihan ini, kita bukan sahaja menguji aset malah mengkoordinasikan gerak kerja dan prosedur operasi di bawah Nadma supaya difahami oleh semua agensi yang terlibat.
“Dengan kerjasama baik daripada semua agensi, saya yakin kita akan lebih bersedia dan tahu peranan masing-masing sekiranya kejadian sebenar berlaku,” ujar beliau.
Latihan Amal REDEX Kinta Utara 2024 itu melibatkan 214 anggota daripada pelbagai agensi diketuai JBPM bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS). – UTUSAN