Simpan daging harimau kumbang, rakyat Vietnam dipenjara 2 tahun, denda RM300,000

Simpan daging harimau kumbang, rakyat Vietnam dipenjara 2 tahun, denda RM300,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Vietnam dipenjara dua tahun dan didenda RM300,000 kerana menyimpan 54 bahagian badan harimau kumbang dalam kawasan Taman Negara Pahang, tanpa permit khas.

Laporan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan mengesahkan bahawa 54 bahagian yang diletakkan dalam plastik berzip, disahkan daging harimau kumbang.

Mahkamah Tinggi Temerloh mengekalkan denda yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Raub terhadap Nguyen Van Tien yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM300,000 dan jika gagal membayarnya, lelaki itu dikenakan hukuman penjara empat tahun.

Hakim Roslan Mat Noor bagaimanapun meminda hukuman penjara dengan mengurangkannya daripada penjara empat tahun kepada dua tahun dan tambahan selama setahun lagi, jika lelaki itu gagal membayar denda.

Beliau menolak rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan denda RM300,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.

Van Tien mengaku menyimpan 54 daging harimau kumbang (Panthera Pardus) yang merupakan bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, tanpa permit khas.

Lelaki itu disabitkan melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 12 Disember 2023 dalam kawasan Taman Negara Pahang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 68 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda minimum RM150,000 bagi setiap hidupan liar (atau bahagiannya) atau penjara maksimum 15 tahun.

Pendakwa raya mengemukakan asas rayuan bahawa denda yang sepatutnya dikenakan oleh Mahkamah Sesyen adalah RM8.1 juta (RM150,000 x 54) dengan mengambil kira jumlah bahagian hidupan liar seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Hujah pendakwaan, ini kerana di bawah Seksyen 68(2)(c) akta itu, denda minimum adalah RM150,000 bagi setiap hidupan liar, bahagian atau terbitan haiwan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin dari Jabatan Perhilitan Negeri Pahang mewakili pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, hakim berkenaan bersetuju dengan denda RM300,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen selepas berpuas hati tafsiran pendakwa raya berhubung hukuman denda, adalah tidak munasabah.

“Mahkamah juga berpendapat hukuman penjara empat tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen jika gagal membayar denda RM300,000, dibuat tanpa mengambil kira kepentingan keadilan. Ia perlu diperbetulkan.

“Setelah meneliti rayuan, fakta dan eksibit yang dikemukakan, mahkamah ini meminda hukuman penjara itu (jika gagal membayar denda) dan ditetapkan kepada 12 bulan.

“Tanpa meremehkan usaha pemuliharaan haiwan liar, mahkamah mengetepikan hukuman penjara empat tahun dan menggantikannya dengan penjara dua tahun,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 18 Oktober lalu yang diperoleh pihak media dari laman web mahkamah, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya