PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan kesediaannya untuk menjadi ‘orang tengah’ antara pengamal media dan majikan dari dua agensi media yang dilaporkan sudah enam bulan tidak membayar gaji pekerjanya.
Beliau berkata, tindakan majikan tersebut tidak boleh diterima dan sangat tidak patut berlaku terhadap mana-mana pengamal media di Malaysia.
“We want a free press but press are not free (Kita mahu kebebasan media tetapi media bukan percuma). Jadi organisasi tersebut wajib melunaskan tunggakan bayaran gaji pekerjanya.
“Saya akan meneliti perkara ini dan bersedia menjadi perantara (antara pengamal media dan majikan),” katanya kepada pemberita melalui nota suara di aplikasi WhatsApp hari ini.
Fahmi yang kini dalam rangka lawatan kerja di Busan, Korea Selatan berkata, sebelum ini pihaknya sudah pun memberi bantuan kepada sejumlah pekerja daripada organisasi tersebut bagi menjaga kebajikan mereka.
“Organisasi itu perlu melaksanakan tanggungjawabnya dan lunaskan hutang (gaji pekerja) selama ini,” katanya.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan media bersama menuntut majikan daripada dua organisasi media atas talian membayar tunggakan gaji pengamal media.
Katanya, tindakan majikan itu merupakan satu bentuk penindasan dan mencerminkan kelemahan pengurusan.
“Adalah amat tidak wajar apabila wartawan sebagai pekerja media dilayan seperti peminta sedekah, sedangkan setiap sen dituntut adalah merupakan hasil kerja keras yang menyumbang kepada operasi syarikat.
“Tidak dapat dinafikan pekerja media terlibat akan dihimpit tekanan kewangan dan emosi, apabila berdepan dengan tanggungjawab untuk terus menyara diri dan keluarga.
“NUJM dan Geramm menyeru pihak majikan agar segera melunaskan semua tunggakan seperti dijanjikan, agar para pekerja media terlibat akan dapat menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing,” katanya. –UTUSAN