PETALING JAYA: Tindakan sesetengah golongan yang memilih membaca buku mengikut bidang dan kumpulan masing-masing menyebabkan budaya membaca tidak subur dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, amalan sedemikian menyebabkan Malaysia berisiko miskin ilmu.
“Umpamanya golongan pelajar, pentadbir dan profesional yang membaca buku melibatkan bidang yang mereka perlu kaji atau belajar sahaja tetapi tidak membaca bahan bacaan bidang lain untuk menambah ilmu pengetahuan.
“Selain itu, kategori bahan bacaan ketika ini juga kurang menyeluruh. Contohnya dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), majoriti pengunjung adalah anak muda, maka sambutan buku golongan dewasa yang serius menjadi terpinggir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ruangan Minda Pengarang Mingguan Malaysia semalam menyentuh mengenai sejumlah 21.27 juta rakyat Malaysia atau 69.9 peratus masih lagi mengamalkan tabiat membaca, namun industri penerbitan kini semakin nazak menyebabkan banyak syarikat gulung tikar.
Statistik oleh Kajian Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 itu dilihat seolah-olah tidak diterjemahkan kepada realiti kerana pengalihan bahan bacaan digital juga kurang mendapat sambutan.
Anwar Ridhwan berkata, peningkatan penggunaan teknologi atau gajet antara faktor budaya pembacaan rakyat Malaysia dilihat semakin merudum.
“Kajian profil membaca rakyat Malaysia mempunyai beberapa dapatan. Ada yang menyebut 24 judul buku pada 2023 dan ada yang menyebut 5.49 judul buku bersamaan membaca 122 jam setahun.
“Pemerhatian umum memang berpendapat bahawa budaya membaca rakyat kita masih kurang subur apabila kutipan jualan kedai-kedai buku rendah, kurang jumlah buku yang dipinjam di perpustakaan dan pengaruh peranti teknologi moden makin menjauhkan tradisi membaca teks,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu bertindak segera bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat pada setiap peringkat umur.
“Kita tidak boleh membiarkan kesilapan ini berpanjangan. Kerajaan perlu gerakkan kempen kesedaran membaca di peringkat nasional,” tambahnya. – UTUSAN