KLANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari enggan menuding jari terhadap mana-mana pihak berhubung siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Pengerusi MBI itu berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal berikutan masih belum ada mana-mana individu dikaitkan dengan siasatan tersebut dituduh di mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan berkaitan rasuah atau salah guna kuasa.
“Beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menyemak dan menyiasat dan tidak terburu-buru membuat kenyataan yang melabel ataupun menuding kepada pihak-pihak tertentu, biarlah siasatan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Kita akan memberi kerjasama kerana kita tidak mahu kompromi dengan kegiatan dan tindakan yang tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia 2024, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM mendapat petunjuk baharu dalam siasatannya terhadap MBI apabila terdapat individu memperolehi saham dalam anak syarikat kerajaan negeri itu untuk kegunaannya sendiri.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Aza Baki, siasatan masih berjalan dan terdapat beberapa projek oleh MBI dalam pemerhatiannya selain kenyataan-kenyataan saksi sedang dikumpulkan.
Siasatan terhadap MBI itu dibuat susulan pihak berkuasa berkenaan membekukan aset bernilai jutaan ringgit dipercayai berkaitan dengan rasuah melibatkan konsesi perlombongan pasir. Siasatan juga turut melibatkan serbuan ke atas sembilan premis di sekitar Lembah Klang.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan pengurusan MBI sendiri memperketatkan prosedur terhadap dasar-dasar yang ditetapkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) sejak 2019 selepas menyedari beberapa kemungkinan-kemungkinan berlaku.
“Kita sangat terbuka dan diberikan ruang dan kerjasama yang sangat baik oleh negeri dan agensi kerana ia juga akan menjamin untuk integriti dapat terus bertahan dalam institusi seperti MBI.
“Sebelum ini pun sudah dipanggil, tak ada masalah kita akan menyampaikan maklumat yang sebaik mungkin untuk kita membersihkan kalau ada sebarang keraguan dan untuk kita menjelaskan kalau ada sebarang pertanyaan.
“Kalau ada yang tersilap atau tersalah mungkin ada masalah prosedur, kita betulkan. Tetapi, kalau ada masalah criminal, itu untuk tindakan selanjutnya pihak berkuasa. Itu diluar bidang kuasa negeri dan negeri akan laksanakan penambahbaikan dan pemantauan supaya hal itu tidak berulang,” jelasnya. – UTUSAN