KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) lebih telus kerana perlu melalui sistem kehakiman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tanggungjawab pihak polis untuk membuka siasatan dengan mencari bahan bukti agar ia dapat dibawa ke Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
“Pihak polis menguatkuasakan undang-undang dengan peruntukan yang sememangnya diperuntukan untuk kami kuat kuasakan.
“Dalam konteks ini apa yang kita lihat bahawa elemen- elemen penganiayaan dan pengabaian wujud untuk dibawa atau digunakan dalam memajukan perniagaan mereka ini.
“Masa 1994, kita punyai undang-undang pencegahan di mana kita tidak perlu pergi kepada sistem kehakiman. Kini, tangkapan kita semua dibawa ke sistem perundangan terbuka, yang mana kita harus cari bukti, dan prosedur itu ‘very transparent’,” katanya.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya berhubung dakwaan Tun Dr . Mahathir Mohamad bahawa polis dan kerajaan bertindak ‘keras’ untuk melumpuhkan operasi GISBH.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tanggungjawab pihak polis untuk membuktikan berlakunya perlakuan pengabaian melalui perniagaan tersebut yang berlandaskan dengan ‘aurad muhammadiah’.
“Jadi saya rasa dekat situ dapat dikatakan bahawa undang-undang yang ada pada suatu ketika dahulu membuatkan siasatan kini menjadi lebih telus.
“Biar tindakan diambil mengikut perundangan, harapan saya adalah masyarakat di luar sana untuk memahami proses perundangan,” katanya.
5 Oktober lalu, Tun Mahathir semasa pentadbirannya mengharamkan Al-Arqam berpendapat tindakan pihak berkuasa sekarang terhadap pengikut dan pemimpin GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah keterlaluan, sehingga seolah-olah ingin melenyapkan terus perniagaan organisasi berkenaan.
Dakwanya, mereka yang terlibat diperlakukan seperti sudah melakukan jenayah dan ia berbeza dengan pendekatan yang dibuat terhadap Al-Arqam yang dipimpin Ashaari Muhammad pada 30 tahun lalu. – UTUSAN