Shasha Abedul tenang berhijab - Utusan Malaysia

Shasha Abedul tenang berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shasha Abedul, 28, mengakui dirinya semakin tenang dengan imej terbaharunya yang kini sudah berhijab.

Menurut Shasha, dia sudah lama berhasrat untuk berhijrah, namun nekad dengan keputusan tersebut selepas kerap berasa serba salah untuk mendedahkan rambutnya di media sosial atau ketika berada di luar.

“Sebenarnya, saya memang sudah lama memasang niat untuk berhijab sejak beberapa bulan lalu. Perasaan itu datang sendiri.

“Cuma, ada satu hari saya bangun, nak muat naik foto saya tidak bertudung di Instagram. Tetapi, tiba-tiba perasaan serba salah itu timbul. Kalau nak keluar rumah pun perasaan sama timbul dan saya tertanya-tanya mengapa?

“Mungkin itulah yang orang kata hidayah dah sampai, mungkin? Insya-Allah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana dan sidang media drama bersiri Astro Originals berjudul Project: Exit, di sini, semalam.

Shasha yang sudah berhijab sejak tiga minggu lalu berkata, dia juga telah menghadiri beberapa kelas dan majlis ilmu untuk mendalami ilmu asas agama.

Tambah Shasha, dia tidak suka membuat keputusan semberono atau asal boleh tanpa memahami tujuan asalnya untuk berhijab.

“Saya pula sejenis kalau nak buat sesuatu bukan hanya sekadar buat, sebaliknya saya mahu memahami apa tindakan yang saya lakukan. Jadi, saya pergi kelas agama untuk belajar dan mendalami ilmu asas.

“Saya mahu faham apa yang saya buat sekarang ini, hanya ikut perintah Tuhan. Sebab itu juga saya tidak tunggu lama dan terus buat keputusan untuk berhijab,” jelasnya.

Ditanyakan mengenai perasaannya selepas berhijab, Shasha mengakui dia lebih tenang seperti baru dihidupkan semula.

“Selepas bertudung saya rasa seperti dilahirkan semula. Saya rasa seperti orang yang baharu dan tenang. Perasaan yang saya tak boleh nak ungkap dan saya suka, Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, Shasha telah memuat naik foto dirinya yang mengenakan tudung buat pertama kali dan menghapuskan hampir kesemua gambarnya tidak mengenakan tudung di Instagram.

Menerusi hantaran sama, Shasha turut memohon agar semua orang mendoakannya untuk kekal istiqamah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya