LOS ANGELES: Lama mengunci mulut, pelakon, Seth Rogan akhirnya memberi penjelasan mengenai tindakannya memutuskan persahabatan dengan pelakon, James Franco.
Aktor berusia 42 tahun itu seperti dilaporkan portal E News berkata, dakwaan salah laku seksual yang dikaitkan dengan Franco antara 2010 hingga 2018 sedikit sebanyak merenggangkan persahabatan mereka.
“Kes tersebut mengubah banyak perkara mengenai persahabatan kami.
“Saya mengutuk salah laku seksual atau penderaan dan tidak akan bersubahat dengan mereka yang melakukannya,” katanya.
Franco sebelum ini berdepan beberapa pertuduhan cabul membabitkan beberapa pelajar kelas lakonannya.
Pada 2019, dua pelajar pelakon filem Spiderman itu memfailkan saman terhada Franco.
Aktor berusia 46 tahun itu menafikan segala pertuduhan yang dibuat terhadapnya dan menyelesaikan kes tersebut dengan bayaran bernilai lebih AS$2 juta (lebih RM4 juta).
Dalam masa yang sama, Rogan juga menyuarakan kekesalan kerana sebelum ini mengatakan ingin meneruskan hubungan dengan Franco secara profesional.
“Saya masih ingat, dalam satu temu bual pernah memaklumkan mahu terus bekerja dengan dia.
“Sebenarnya, saya tidak mahu (bekerja dengan Franco) dan tidak merancang ke arah itu,” kongsinya.