SHAH ALAM: Langkah menyeragamkan modul Minggu Destini Siswa (MDS) di semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukanlah kaedah yang sesuai untuk menghalang kejadian ‘prank’ terhadap pelajar baru daripada terus berulang.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, UiTM mempunyai 13 cawangan dan 34 kampus di seluruh negara dan pihaknya tidak bercadang untuk mengawal kesemua fasilitator yang mengendalikan MDS disebabkan satu dua peristiwa yang berlaku.
“Penyelesaiannya bukanlah keseragaman. Contohnya kita ada tiga pasukan, semua kita ikut (modul) yang sama tetapi mengapa kita tugaskan mentor yang lain, sebab setiap mentor tipsnya lain.
“Kita belum tahu mana satu yang menang. Daripada sistem UiTM yang mempunyai 13 cawangan dan 34 kampus, penyelesaian UiTM juga bukanlah satu sistem yang mengawal semua tetapi penyelesaian UiTM adalah ‘distributed'(menyeluruh), ayat sekarang ini untuk mengawal anda harus beri kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Pemegang Lesen Rasmi F1 In Schools Malaysia, Tiquar Enterprise di Bangunan Canseleri di sini semalam.
Media melaporkan, Fasilitator UiTM Segamat, Johor yang tular baru-baru ini kerana membuat ‘prank’ ketika MDS tampil membuat permohonan maaf. Melalui sebuah video yang dimuat naik di TikTok, wakil fasilitator itu berkata, pihaknya mengakui idea untuk melakukan ‘prank’ tersebut sesuai untuk dilakukan semasa MDS berlangsung. – UTUSAN