Seolah membunuh diri jika menganiaya Najib - Hakim

Seolah membunuh diri jika menganiaya Najib – Hakim

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan-keterangan beberapa saksi pendakwaan berhubung hubungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, adalah konsisten dan berkait antara satu sama lain.

Saksi-saksi tersebut bukanlah rakan sejenayah (accomplice) dan tiada motif buat saksi-saksi tersebut untuk memberi keterangan bagi menganiaya tertuduh yang mempunyai kuasa besar sebagai Perdana Menteri dan Menteri kewangan.

“Berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan, tertuduh berdiri paling atas dalam proses membuat keputusan. Saksi-saksi seolah-olah membunuh diri sendiri sekiranya dengan sengaja memberi keterangan yang tidak menyebelahi tertuduh.

“Perlu diingatkan juga bahawa saksi-saksi ini bukanlah individu yang sedang dibicarakan dan dengan mengambil kira dakwaan terhadap mereka, saya dapati keterangan mereka berhubung isu utama perbicaraan ini boleh dipercayai,” ujar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Saksi-saksi yang dimaksudkan ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu, keterangan yang diberikan Najib kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menunjukkan bahawa bekas Presiden UMNO itu sendiri mengakui menerima wang dalam akaunnya dan menggunakan wang tersebut bagi pelbagai tujuan.

“Tertuduh mengakui bahawa beliau mempunyai kawalan terhadap akaun-akaun peribadinya dan bukannya Nik Faisal (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil), Datuk Azlin (Setiausaha Sulit Najib, Datuk Azlin Alias) atau Jho Low.

“Tertuduh juga mengakui bahawa terdapat keperluan untuknya mencari dana bagi mengelakkan berlakunya Peristiwa 916 (Ahli Parlimen lompat parti) yang boleh mengakibatkannya hilang tampuk pemerintahan. Ini sekaligus menyokong keterangan saksi pendakwaan ke-19, Tan Sri Sidek Hassan yang menyatakan 1MDB digunakan sebagai dana politik Barisan Nasional.

“Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa tertuduh tidak akan mampu untuk mendapatkan dana tersebut sekiranya tertuduh tidak menjalankan tindakan positif dalam 1MDB yang mana beliau mempunyai kepentingan,” kata hakim itu.

Oleh itu, Najib tidak dapat menyangkal tanggapan mengikut Seksyen 23(2) Akta SPRM di atas imbangan kebarangkalian.

Menurut Seksyen tersebut, seseorang penjawat awam hendaklah dianggap telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya apabila dia membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara berkaitan dengannya sama ada secara langsung atau tidak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN