SHAH ALAM: Mana-mana pihak termasuk ahli profesional dan ahli politik digesa supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang didakwa boleh memburukkan lagi situasi dan siasatan polis terhadap pengikut dan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Peguam yang mewakili lembaga pengarah dan pengurusan kanan GISBH, Najib Zakaria berkata, sebarang dakwaan yang ditimbulkan ketika siasatan dilakukan adalah bersifat spekulasi dan boleh memburukkan lagi situasi.
“Itu spekulasi. Kita tak tahu lagi apa yang telah berlaku. Sebab saya pastilah, kalau ikut apa yang dijawab oleh pengurusan tertinggi GISBH. Tidak berlaku apa yang seperti ditohmahkan. Tidak ada sebab-sebabnya.
“Sebab syarikat GISBH ingin membuat perniagaan dan berdakwah. Itu tumpuan GISBH. Dia memulakan perniagaan dan juga berdakwah. Dan saya tidak nampak kenapa mereka perlu mendidik anak-anak mereka untuk menentang kerajaan. Ataupun untuk berjihad dengan menjatuhkan kerajaan atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, kerajaan digesa mengambil tindakan lebih adil dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang memburukkan lagi situasi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 400 kanak-kanak diselamatkan daripada sekolah agama dan rumah amal di bawah GISBH didakwa didedahkan dengan video-video yang mengandungi unsur-unsur militan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah mendedahkan maklumat tersebut diketahui berdasarkan siasatan polis dan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan salah faham terhadap maksud sebenar jihad dan mencetuskan ancaman kepada masyarakat dan negara.
Bagaimanapun, anak kepada salah seorang pengasas Al-Arqam Asaari Muhammad, Khaulah Asaari, 38, ketika ditemui dalam sidang akhbar tersebut memaklumkan dia belum lagi melihat kandungan video tersebut.
“Saya sendiri tak tengok lagi (video yang ditayangkan kepada kanak-kanak itu), jadi saya tak boleh komen banyak,” ujarnya. – UTUSAN