PETALING JAYA: “Jodohnya sampai di sini, semoga dipermudahkan segala urusan.” Demikian reaksi netizen berhubung perceraian pasangan popular, Nur Fazura dan Fattah Amin.
Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan mendoakan agar bekas pasangan suami isteri itu diberikan kebahagiaan masing-masing.
“Jodoh hanya sampai situ sahaja, Tak apalah, mungkin ada hikmah apa yang berlaku,” tulis seorang pengguna Facebook.
“Ajal, rezeki, jodoh, semuanya ketentuan Allah. Semoga ujian ini membuatkan mereka lebih dekat dengan Allah,” tulis seorang lagi netizen.
Fattah Amin melafazkan cerai terhadap Fazura dengan talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Selepas prosiding berlangsung hampir satu jam, mahkamah merekodkan talak oleh Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, itu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh pada jam 9.45 pagi.
Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin semakin jelas apabila aktres itu menfailkan penceraian pada 13 September lalu.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.