PASIR MAS: Sembilan tuan tanah di negeri ini dikompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas melakukan pembakaran terbuka sepanjang Januari hingga hari ini.
Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.
“Kita kompaun pemilik tanah itu mengikut kesalahan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) (Pindaan) 2024,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 peringkat Negeri Kelantan di Masjid Al-Hanan Tendong di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, penduduk di Kelantan diingatkan supaya tidak menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah.
Katanya, masih banyak kawasan perkampungan yang bergantung pada sungai bukan sahaja sebagai sumber air tetapi sumber makanan dan pendapatan.
“Apabila berlaku pencemaran sungai boleh memudaratkan kesihatan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai terbabit,” katanya.-UTUSAN