SHAH ALAM: Sembilan termasuk empat isteri empat isteri kepada ahli lembaga pengarah syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang salah seorangnya warga Australia dijangka dibebaskan daripada tahanan reman pada hari ini dan esok.
Jangkaan tersebut selepas Mahkamah Majistret membenarkan tujuh wanita dan dua lelaki itu masing-masing direman selama satu dan dua hari selepas permohonan lanjutannya dibuat kali kedua di hadapan Majistret M. Mageshwary.
Peguam yang mewakili mereka, Boestamam Ahmad memaklumkan, tahanan wanita dijangka dibebaskan pada petang ini sementara dua lelaki pula esok.
Menurutnya, pembebasan tersebut adalah prosedur biasa di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), namun bergantung kepada polis untuk tindakan susulan atau arahan jaminan.
“Dalam prosiding tadi, mahkamah membenarkan anak guam terdiri daripada tujuh wanita dan dua lelaki direman masing-masing selama satu dan dua hari. Kalau ikut prosedur biasa, mereka sepatutnya bebas pada petang ini dan esok.
“Jaminan itu adalah jaminan polis, namun bergantung kepada pihak berkuasa untuk menentukan berapa orang yang boleh jadi penjamin,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, kesemua yang direman berusia 18 hingga 55 tahun itu termasuk cucu kepada pengasas gerakan Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang dikenali sebagai Abuya tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi.
Boestamam memaklumkan kesemua suspek sebelum ini ditahan di Rawang pada 27 September lalu.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan permohonan lanjutan reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH serta orang kanan dan pengikutnya diteruskan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua 24 ahli yang direman selama lima hari sehingga hari ini akan ditahan semula bersabit satu kertas siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Menurutnya, polis turut memohon membekukan 206 akaun berkaitan kumpulan itu yang dianggarkan bernilai lebih RM1.35 juta.
Jelas Razarudin, setakat ini jumlah ahli GISBH yang masih dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah adalah seramai 93 orang dengan 34 orang lagi ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012).
Menurutnya, kesemua direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM (Pindaan) 2022.
Selain itu, Razarudin memaklumkan, pembekuan akaun GSBH melibatkan 205 akaun bernilai RM1.35 juta serta satu akaun bank bernilai AS$1,344.26 (RM5,688.80).
Katanya lagi, tindakan pembekuan akaun dan harta berkaitan GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). – UTUSAN