Semakin ramai cerdik pandai ketagih dadah - Utusan Malaysia

Semakin ramai cerdik pandai ketagih dadah

ZAINUDIN Abdullah (kanan) menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Program Berinformasi AADK 2024 di Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kes penyalahgunaan dadah melibatkan golongan cerdik pandai di negara ini menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh sejak lima tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, sebanyak 717 kes direkodkan pada 2023 melibatkan individu yang memiliki taraf pengajian sarjana muda, sarjana serta doktor falsafah (PhD).

“Berdasarkan statistik, direkodkan sebanyak 437 kes melibatkan individu berpendidikan tinggi ini pada tahun 2019 dan seterusnya meningkat kepada 450 kes bagi 2020.

“Kes sepanjang 2021 pula sebanyak 584 kes dan pada 2022 adalah 602 kes. Trend membabitkan golongan cerdik pandai ini semakin meningkat setiap tahun.

“Malah, pada tahun ini pula bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 733 kes telah direkodkan atau bersamaan kira-kira 0.50 peratus daripada jumlah kes keseluruhan iaitu 148, 015 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Program Berinformasi AADK 2024 di Kuala Berang, dekat sini, hari ini.

Zainudin memberitahu, usaha membendung masalah dadah memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak serta pendekatan yang lebih praktikal dan berkesan di samping menarik minat semua golongan untuk lebih cakna terhadap bahaya dadah.

“Program bertujuan meningkatkan tahap kesediaan komuniti melalui penyampaian maklumat bahaya penyalahgunaan dadah dan kesan penagihan dadah dalam komuniti serta peranan masyarakat ke arah mencapai sasaran dadah terkawal 2025 diperhebatkan,”

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, trend penggunaan dadah juga berubah iaitu daripada jenis opiat seperti heroin dan morfin kepada dadah jenis sintetik seperti syabu dan ekstasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya