PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan semakan hukuman mati oleh seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan dan seorang pekerja ladang, T Thilaiyalagan yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Seeorang lagi pemohon, R. Kathavarayan yang pada mulanya memfailkan permohonan semakan yang sama telah menarik balik permohonan tersebut pada pagi ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar permohonan tersebut.
“Mengguna pakai budi bicara kami dan merujuk kepada fakta-fakta kes, kami menolak permohonan semakan ini dan hukuman mati dikekalkan,” kata Hakim Tengku Maimun.
Semua perayu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara pukul 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pathmanabhan, Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015.
Pada 16 Mac 2017, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan namun membebaskan Matan atas alasan mendapati tiada bukti yang boleh mensabitkannya.
Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (ketika itu), Datuk Akhtar Tahir merumuskan bahawa motif pembunuhan Sosilawati berkaitan urusan jual beli tanah.
Tiga lagi lelaki yang menemani Sosilawati yang ingin mempercepatkan tarikh pembayaran dua cek dikeluarkan firma peguam itu adalah mangsa keadaan yang berada di tempat dan waktu yang salah.
Menurut Hakim Akhtar, berdasarkan maklumat diberikan khususnya oleh Thilaiyalagan serta Kathavarayan, pihak polis menemui kesan bakar di belakang ladang itu dan apabila menggali kawasan terbakar itu, polis menemui beberapa tulang dan beberapa daripada tulang itu kemudiannya disahkan oleh pakar sebagai tulang manusia yang telah rentung, menunjukkan mereka telah dibakar pada darjah suhu amat tinggi.
Salah seorang saksi pendakwaan yang juga bekas pembantu rumah Pathmanabhan dan tinggal di ladang berkenaan, Siti Hamidah ketika memberi keterangan menyatakan ada terdengar jeritan wanita pada 30 Ogos 2010, di ladang itu serta melihat api menjulang setinggi pokok kelapa sawit.
Katanya siasatan lanjut di ladang itu menemui satu kawasan dengan mempunyai kesan darah dan kayu pemukul kriket dengan kesan darah dan analisis ke atas darah itu oleh ahli kimia menunjukkan darah itu ada yang sepadan dengan Sosilawati dan rakan-rakannya.
Keterangan juga menunjukkan asid deoksiribonukleik (DNA) pegawai bank, Noorhisham dijumpai pada dinding dan kayu kriket manakala profil DNA Kamaruddin Ahmad Kamil pula dijumpai pada kepingan zink. – UTUSAN