Selesaikan saman tertunggak JPJ, PDRM  layak mohon lesen B penuh

Selesaikan saman tertunggak JPJ, PDRM  layak mohon lesen B penuh

KETUA Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli ketika sidang akhbar ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Bangi Lama di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemilik lesen B1 dan B2 untuk menyelesaikan senarai hitam dan saman tertunggak untuk melayakkan mereka menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, saman dan senarai hitam itu melibatkan dua agensi penguat kuasa iaitu JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, walaupun syarat mendapatkan lesen B penuh sudah diberi beberapa kelonggaran, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan termasuk memastikan tiada saman tertunggak.

“Orang awam perlu menyemak kelayakan itu menerusi aplikasi MyJPJ atau kaunter JPJ atau portal JPJ. 

“Sekiranya status menunjukkan tidak layak walaupun syarat lesen B1 atau B2 sudah dipenuhi, pemohon perlu menyemak semula saman tertunggak, tidak kira saman JPJ atau PDRM.

“Semua saman tertunggak perlu diselesaikan terlebih dahulu, barulah sistem itu automatik kesan dan tukar status kepada layak,” katanya dalam sidang akhbar ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Bangi Lama di sini, hari ini.

Terdahulu, ramai pemilik lesen LMM B1 dan B2 didakwa kecewa selepas gagal dalam permohonan peralihan ke lesen B penuh kerana status semakan menunjukkan mereka tidak layak.

Aedy Fadly berkata, selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan kelmarin supaya kelonggaran syarat dapat diberikan, JPJ telah melaksanakan tindakan pembaharuan.

“JPJ telah melonggarkan syarat iaitu tiada lagi syarat minimum 10 tahun berterusan yang ditetapkan sebelum ini dan syarat itu sudah dimansuhkan  serta-merta. 

“Orang ramai yang mempunyai lesen B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas serta tiada saman tertunggak layak untuk memohon program peralihan kepada lesen B penuh,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 3.32 juta pemegang lesen B1 dan B2 layak menyertai program khas LMM itu.

Katanya, jumlah keseluruhan pemegang lesen B1 dan B2 adalah sebanyak 9.31 juta orang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya