SHAH ALAM: Individu atau pihak yang membuang ikan asing atau spesis ‘alien’ ke dalam sungai di Selangor bakal berdepan tindakan undang-undang mulai tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pihaknya sedang menyiapkan Enakmen Kawalan Ternakan Ikan Darat berhubung isu tersebut yang menguatkuasakan permit bagi ternakan ikan asing.
“Selain itu, ia pastinya melibatkan kesalahan melepaskan ikan tersebut ke sungai antaranya spesis baung merah, bandaraya dan ‘aligator gar’.
“Peraturan baharu itu sedang disiapkan dan dalam proses semakan terperinci. Kita jangka ia selesai hujung tahun ini dan akan dikuatkuasakan tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, pihak terlibat akan berdepan tindakan tegas kerana kesalahan itu jelas menjejaskan ekosistem ikan tempatan.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri akan meneruskan program pemberian ganjaran RM1 bagi tangkapan sekilogram ikan bandaraya.
“Inisiatif bagi mengurangkan populasi spesis itu dilihat positif apabila sebanyak empat tan ikan berjaya dikumpul dalam tempoh sebulan.
“Justeru, kita akan melanjutkan lagi program sejak 1 September lalu itu di sungai-sungai negeri ini termasuk di Sungai Langat,” ujarnya.
Terdahulu, pelepasan ikan ‘alien’ sebelum ini dilapor dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membayar nazar atau ritual menyebabkan kepupusan ikan asli tempatan di Selangor khususnya.
Pemilihan ikan khususnya jenis keli afrika atau nama saintifiknya clarias gariepinus yang dikatakan mempunyai daya tahan tinggi amat bersesuaian dengan nazar dibuat golongan tersebut.
Kehadiran ikan penceroboh itu dikatakan boleh memakan mana-mana spesies ikan dengan begitu banyak dan cepat bertindak balas kepada sumber makanan baharu.
HABIS