Selangor warta fatwa pengharaman GISBH

Selangor warta fatwa pengharaman GISBH

Harta
ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengisytiharkan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Fatwa tersebut diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disiarwarta pada 16 Oktober (Rabu) lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di negeri ini dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan ini.

Menurutnya, fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari aspek akidah dan syariat.

“Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang diharamkan itu hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka.

“Masyarakat Islam di Selangor dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mana-mana orang yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perlis, Melaka, Pahang, Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah mengeluarkan fatwa mengenai amalan dan pegangan GISBH.

Pengeluaran fatwa tersebut juga dilihat selaras dengan pewartaannya sebelum ini terhadap amalan, ajaran dan gerakan Al-Arqam yang dibuat sejak Ogos 1994 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menyatakan, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan plan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling.

“MAIS menegaskan bahawa program itu selaras dengan fatwa yang diwartakan. Justeru, MAIS mengalu-alukan pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan,” jelasnya.

Katanya lagi, MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh kerajaan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya