Selangor guna SPS bina ban lebih kukuh

Selangor guna SPS bina ban lebih kukuh

Ban pecah
IZHAM Hashim bergambar bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Lima Tekad Lima Tahun Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengadaptasi kaedah pembinaan ban menggunakan Sistem Precast Skematik (SPS) seperti digunakan di Indonesia bagi mengatasi masalah kekerapan ban runtuh.

Kaedah tersebut dimulakan dengan projek perintis di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Kuala Langat yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap mengalami masalah ban pecah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, ia sebahagian daripada rancangan tebatan banjir kerajaan negeri yang mengenal pasti ban-ban tidak kukuh dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran.

Menurutnya, lebih 1,000 kilometer (km) ban di tebing sungai (700 km) serta pesisiran pantai (300 km) dalam pemantauan pihak berkuasa dan mustahil untuk dibina menggunakan struktur lebih solid seperti batu dan sebagainya.

“SPS guna panel precast, kemudian cara ia dipasang jadi macam konsep modular. Bila dipasang, ia jadi satu unit yang kukuh, tak bergerak satu unit, jadi kuat. Malah, boleh buat jalan di atasnya.

“Jadi, kita kenal pasti dengan JPS adalah tempat-tempat yang sering jadi masalah kita akan gantikan dengan kaedah binaan ban yang lebih kukuh. Tempat yang tak pernah berlaku tak apalah, yang berlaku kita kenal pasti, kita buat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Lima Tekad Lima Tahun Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Tambahnya, beliau bercadang untuk melaksanakan terus kaedah berkenaan di kawasan-kawasan lain sekiranya kaedah itu berkesan bagi mengatasi masalah kekerapan ban pecah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 30 penduduk Kampung Parit 16, Tanjung Medan dan Kampung Belia 2, Sungai Panjang, di Sabak Bernam terpaksa dipindahkan selepas ban berdekatan sebuah ladang di kawasan itu pecah dalam kejadian air laut pasang besar pada 18 Oktober lalu.

Malah, akhbar ini turut melaporkan kejadian ban pecah di Ijok, Kuala Selangor sehingga mengakibatkan limpahan air yang turut menghanyutkan sampah dari tapak pelupusan sampah haram berdekatan sehingga mencetuskan bau busuk dalam kalangan penduduk kampung.

Dalam pada itu Izham turut menyatakan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan ban di pesisir pantai yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM30 juta dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun

Menurutnya, kejadian ban pecah akibat air laut pasang besar di kawasan pesisiran pantai adalah disebabkan kerja-kerja pembinaannya sedang berjalan.

Jadi, dalam masa ia dilaksanakan, maka berlakulah semua itu (ban pecah dan banjir). Kita sudah ambil langkah-langkah seperti meletakkan beg pasir dan sebagainya untuk mengukuhkan tempat itu, kerja bina ban itu belum siap lagi.

“Paras laut meningkat, kita sudah naikkan antara satu hingga satu setengah meter bergantung kepada tempat. Itulah kerja yang sedang dibuat. Jadi, bila berlaku sewaktu kerja sedang dibuat kadang-kadang kerja tak siap lagi biasalah ia akan berlaku. Jadi, kita tutup balik.

“Bila projek itu siap insya-Allah, ia akan menyelesaikan sebahagian besar daripada masalah tentang kenaikan aras laut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya