PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan berkenaan membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil memimpin Kumpulan H dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan, hasil dua kemenangan satu keputusan seri, sekali gus menjadi permulaan sempurna di pentas Asia setakat ini.
Dalam aksi berkenaan, kedua-dua pasukan menampilkan aksi terbaik pada awal permainan dengan saling melakukan asakan ke arah pintu gawang, namun gerakan berjaya dipatahkan dengan kawalan kemas benteng pertahanan.
Gol yang dicari skuad Gergasi Merah hadir selepas setengah jam permainan berlangsung menerusi ketua pasukan, Harith Haiqal yang bijak menyudahkan umpaman Yohandry Orozco.
Selang tiga minit permainan, penyerang import Selangor FC, Ali Olwan menghadiahkan jaringan kedua pasukan selepas mudah menyempurnakan hantaran menarik daripada Noaa Laine.
Pada minit ke-40 permainan, Jeonbuk Hyundai kembali mendapat rentak apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi Chang Hoon Kwan untuk menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1.
Bersambung babak kedua, Jeonbuk Hyundai melakukan asakan awal untuk mencari gol penyamaan, namun penyudah tumpul menjadi masalah utama mereka di MBPJ, malam ini.
Peluang terbaik wakil Korea Selatan itu hadir menerusi pemain gantian, Park Jeon Beom yang hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya hanya singgah di palang gol pada minit ke- 76.
Pada babak terakhir masa tambahan, Selangor FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Orozco dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning.
Selepas ini, kedua pasukan akan bertembung sekali lagi pada 7 November ini di Stadium Jeonju, Korea Selatan, manakala dalam aksi domestik pula menyaksikan Selangor akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad ini.-UTUSAN