PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin meluahkan rasa rindu terhadap puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya yang genap berusia empat tahun pada hari ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Fattah turut menitipkan ucapan selamat ulang tahun kepada anaknya itu dan mendoakan agar dia sentiasa di bawah rahmat-Nya.
“Selamat hari lahir anakku, Nur Fatima Aisya Binti Abdul Fattah.
“Semoga membesar sihat menjadi anak yang solehah, bijak pandai, sihat walafiat dan sentiasa di bawah perlindungan Allah. Daddy rindu kamu,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Fattah turut memuat naik video telatah comel puteri kesayangannya bersama aktres, Nur Fazura itu yang petah menyanyikan lagu kanak-kanak.
Perkongsian tersebut turut meraih pelbagai respons daripada peminatnya yang turut mendoakan kesejahteraan keluarga tersebut agar dapat bersatu kembali.
“Semoga anak ini dapat bahagiakan ibu bapanya dunia dan akhirat. Aamin,” komen peminatnya.
“Selamat hari lahir Fatima. Semoga mommy dan daddy kamu dapat bersatu kembali ya. Semoga yang baik-baik juga buat kamu. Membesar dengan sihat ya,” komen seorang lagi peminatnya.
“Anak dan ayah tak boleh dipisahkan,” kata seorang pemilik akaun.
Pada Rabu lalu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam telah menetapkan tarikh baru untuk proses perceraian Fattah dan Fazura pada 7 Oktober ini.
Fattah bagaimanapun kekal dengan keputusannya untuk tidak melepaskan isterinya, Fazura meskipun pelakon wanita itu nekad untuk berpisah.
Pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai pihak selepas dikhabarkan telah memfailkan perceraian terhadap Fattah di mahkamah yang sama.
Fattah dan Fazura telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya. -UTUSAN