Seksa, air bawa sampah melimpah ke rumah di pekan Pauh

Seksa, air bawa sampah melimpah ke rumah di pekan Pauh

SEORANG penduduk terseksa setiap kali hujan lebat air daripada longkang di seberang jalan yang berbau busuk dengan sisa sampah, bangkai melimpah masuk ke rumah di Pekan Pauh berhadapan Klinik Kesihatan Pauh, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penduduk di Pekan Pauh berhadapan Klinik Kesihatan Pauh di sini terseksa apabila setiap kali hujan lebat menyebabkan air daripada longkang di seberang jalan kampung tersebut yang berbau busuk dengan sisa sampah, bangkai melimpah masuk ke rumah.

Malah, air yang melimpah itu ibarat seperti kepala air yang mengalir deras masuk ke dalam rumah yang terletak kira-kira 100 meter daripada longkang tersebut yang turut berada berhampiran tempat pembuangan sampah.

Masalah sistem perparitan yang tidak sistematik itu perlu dipandang serius oleh pihak bertanggunjawab kerana setiap kali hujan lebat ia akan menyebabkan situasi sama berulang sekali gus menyusahkan penduduk di situ.

Malah, bagi seorang penduduk, Mat Zain Shaari,61, dalam tempoh setahun, sudah lima kali air busuk berkenaan melimpah masuk ke dalam rumah dengan hujan lebat kelmarin menyaksikan keadaan bertambah buruk apabila air mencecah sehingga paras lutut.

Mat Zain berkata, dia juga sudah buntu berdepan dengan situasi yang berulang itu dan terpaksa menanggung kerugian setiap kali air melimpah masuk ke dalam rumah.

“Limpahan air itu datang daripada longkang di kawasan perumahan di seberang jalan kediaman kami. Bagi mengatasi masalah ini, sistem perparitan di situ perlu dilihat semula.

“Setiap kali hujan hanya dalam tempoh dua jam air akan melimpah deras seperti kepala air memasuki rumah. Air yang melimpah masuk berwarna hitam, berbau busuk membawa sekali sampah termasuk bangkai ke dalam rumah.

“Tahun ini sahaja, sudah lima kali air masuk ke dalam rumah dengan hujan lebat kelmarin disifatkan paling buruk sehingga menyebabkan rumah terus dinaiki air dan lebih menjijikkan turut membawa sisa sampah dalam rumah.

“Kena dibuat longkang di sebelah sini juga bagi mengalirkan air keluar. Jika tidak masalah sama terus berulang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Mat Zain, dia sudah memanjangkan masalah tersebut kepada pengurusan Masjid Al-Mursyid, Guring Pauh yang dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh namun malangnya sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Saya berharap sangat ADUN berkenaan membantu atau sekurang-kurang menjadi orang tengah kepada agensi-agensi berkaitan bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

“Saya sebenarnya sudah tidak tahan lagi menanggung siksa ini dengan setiap kali hujan lebat air busuk melimpah masuk ke dalam rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN