PUTRAJAYA: Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi GIG Malaysia mahu pekerja GIG di negara ini dilindungi dari segi skim keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) dan perlindungan kesihatan.
Itu antara lima resolusi yang dikemukakan sekretariat sempena Konvensyen Ekonomi GIG Malaysia Madani untuk dipertimbangkan kerajaan.
Resolusi lain termasuk mahu kerajaan menginstitusikan pemantauan bersepadu serta analisis berterusan terhadap perkembangan industri GIG di Malaysia.
Menurutnya, ini bertujuan memastikan penggubalan dasar serta intervensi strategik dapat dilaksana dengan lebih tepat dan responsif terhadap dinamik pasaran dan teknologi.
Selain itu, sekretariat juga mahu peranan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGIM) diperkasakan
sebagai institusi kawal selia utama bagi mempertahankan hak dan kesejahteraan pekerja GIG.
Sementara itu, sekretariat juga mahu akses kepada program latihan kemahiran lanjutan dan peluang peralihan kerjaya bagi pekerja GIG ditingkatkan.
Ia termasuk akses yang meluas kepada program latihan kemahiran tinggi yang sesuai dengan keperluan industri masa kini, termasuk kemahiran teknologi, keusahawanan, dan pengurusan.
Di samping itu, peluang untuk peralihan kerjaya akan disediakan melalui program ‘reskilling dan upskilling’ yang disokong oleh kerajaan serta sektor swasta bagi membolehkan pekerja GIG menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran atau beralih ke bidang lebih stabil.
Dalam pada itu, sekretariat juga mahu satu strategi inovatif yang proaktif dirangka dengan tumpuan kepada pembangunan teknologi canggih, reformasi perundangan yang relevan, serta adaptasi kepada keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Lima resolusi itu diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penutup Konvensyen Ekonomi GIG Malaysia Madani, di sini hari ini. – UTUSAN