TEMERLOH: Kerajaan dicadang mewujudkan rumah kabin sebagai sekolah di setiap perkampungan Orang Asli sebagai langkah proaktif mengatasi keciciran pelajaran anak Orang Asli di seluruh Semenanjung.
Aktivis Orang Asli, Datuk Mohammad Olian Abdullah berkata, sekolah atau rumah kabin lebih mesra alam, murah dan cepat dengan menggunakan tenaga solar sebagai sumber boleh diperbaharui dan menjimatkan kos.
Tegasnya, pelaksanaan di luar kotak itu dilihat begitu relevan bagi menarik minat dan membolehkan anak Orang Asli mendapat pendidikan asas yang lebih baik.
“Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai insentif pendidikan kepada anak Orang Asli tetapi tahap keciciran masih tinggi.
“Mewujudkan sekolah kabin yang boleh memuatkan anak Orang Asli belajar dalam kampung dan mengelakkan mereka berulang alik atau tinggal di asrama dalam usia muda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM380 juta kepada masyarakat Orang Asli.
Mengulas lanjut, Mohammad Olian berkata, bayangkan anak Orang Asli di bawah usia 12 tahun tinggal di asrama dan berjauhan dengan keluarga mengurus diri.
Oleh itu katanya, tidak hairanlah setiap cuti penggal mereka pulang dan tidak mahu kembali semula ke asrama.
Beliau yang juga bekas senator berkata, ketika ini terdapat kira-kira 230,000 Orang Asli membabitkan 18 suku kaum di sekitar Semenanjung terdiri daripada Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.
Menurutnya, walaupun ada pelbagai bantuan dan insentif kepada masyarakat Orang Asli namun, banyak isu Orang Asli yang belum dapat diselesaikan dan secara tuntas.
“Masyarakat Orang Asli adalah etnik minoriti di negara ini tetapi mereka sudah berintegrasi dan menerima pembangunan.
“Namun, isu kemiskinan dan keciciran masih membelenggu komuniti berkenaan kerana faktor lokaliti dan sumber ekonomi yang terhad,” katanya.
Mengulas lanjut Mohammad Olian berkata, Kementerian Pendidikan yang mendapat peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2025 mungkin ada cara bagi merealisasikan cadangan itu seperti melatih lebih ramai anak Orang Asli sebagai guru.
Menurutnya, pendidikan anak Orang Asli pada peringkat asas ini dapat membentuk pemikiran kepentingan pelajaran dan merangsang mereka ke sekolah menengah dan ke pusat pengajian tinggi. – UTUSAN