Segera baik pulih ban pecah, henti banjir 'termenung' di Ijok

Segera baik pulih ban pecah, henti banjir ‘termenung’ di Ijok

Ban pecah
MOHAMAD Afandy Mohd. Tohar (kanan) menunjukkan punca banjir akibat ban pecah dekat Lembangan Sungai Buloh, Ijok, di Kuala Selangor, Selangor, semalam.- UTUSAN /ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 1,400 penduduk di Ijok di sini, menggesa pihak berwajib segera membaik pulih ban pecah di lembangan Sungai Buloh yang mengakibatkan banjir ‘termenung’ sejak tiga hari lalu.

Kejadian awal pagi kelmarin itu menjejaskan lebih 200 penduduk daripada 55 keluarga di Kampung Batu 7 Ijok, Kampung Parit Mahang dan Kampung Harmoni.

Lebih teruk, limpahan air itu berbau busuk kerana turut membawa sisa sampah daripada tapak pembuangan haram dari kawasan berhampiran.

Sehingga kini, seramai 151 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Rendah Agama Ijok dan Dewan Rafulin, Bukit Badong kerana kediaman dan sebuah pusat jagaan warga emas masih ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

Penduduk, Mohd. Roze Basir, 43, berkata air mula menenggelamkan kediamannya di Kampung Batu 7 setinggi satu meter atau paras pinggang, kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

“Banjir berpunca ban pecah berdekatan tapak pembuangan sampah haram itu membawa air berwarna hitam dan berbau busuk.

“Kini, kampung ini masih berdepan banjir termenung kerana kerja baik pulih ban pecah di lembangan sungai itu belum siap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi itu semalam.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, kejadian berkenaan paling buruk pernah berlaku sejak 2021 dan berharap dapat segera diselesaikan.

“Kami bimbang ia memberi risiko kepada penyakit berjangkit kerana air semakin hitam dan berbau busuk. Air yang melimpah ke dalam rumah juga membawa sisa sampah haram yang hanyut,” ujarnya.

Bagi Zharfan Effendy Mohd. Tohar, 39, penduduk tidak tahan dengan bau busuk yang datang daripada air yang melimpah di sekitar rumah.

“Pihak berkuasa digesa menangani isu sampah haram di kawasan berhampiran lembangan sungai tersebut Kita bimbang air yang melimpah masuk ke rumah penduduk tercemar dan boleh mengundang penyakit,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ijok, Mohamad Afandy Mohd. Dahlan berkata, kerja membaik pulih ban pecah sepanjang 15 meter itu sedang dilaksanakan pihak kontraktor bertanggungjawab.

“Ini kejadian kali pertama berlaku sejak ban ini dibina bagi menghalang laluan air dari Sungai Buloh masuk ke parit kampung.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat membaik pulih segera ban pecah kerana selagi belum diselesaikan keadaan banjir melanda rumah penduduk tidak surut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya