DUNGUN: “Saya tidak ingat kejadian itu, sedar-sedar sudah tercampak ke dalam longkang,”.
Itulah kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, yang terselamat dalam nahas mengorbankan tiga rakannya di hadapan universiti itu, di sini, Rabu lalu.
Muhammad Ammar Danish berkata, kejadian pada pukul 7 l.35 petang itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampus dari pusat bandar Dungun untuk membeli barang keperluan.
Menurutnya, mereka berempat keluar dari kampus sekitar pukul 5 petang sebaik selesai menghadiri perjumpaan aktiviti kokurikulum sebelum dia mengajak Khairil Anwar Jamaludin, 20, untuk keluar.
“Pada awalnya hanya saya dan Khairil Anwar mahu ke bandar tetapi dua lagi rakan baik kami, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Tukirin, 25, juga mahu turut serta.
“Saya menunggang motosikal Yamaha 135LC itu sambil dibonceng Khairil Anwar walaupun itu motosikal dia kerana dia lebih percayakan saya.
“Kami berempat sempat meluangkan masa dan bergurau senda di bandar selama hampir dua jam sebelum ambil keputusan pulang ke kampus kerana sudah hampir waktu Maghrib.
“Apa yang saya ingat, kami sudah hampir tiba kira-kira 500 meter menuju pintu masuk kampus dan sedar-sedar saya sudah berada di dalam longkang,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, tahap kesihatannya semakin baik namun masih mengalami pening-pening kesan daripada terjatuh dan tercampak ke dalam longkang.
Sementara itu, bapanya, Mohamad Ridhuan Mohd. Shariff, 52, berkata, mereka sekeluarga sedia untuk berjumpa dengan suami kepada wanita yang menyebabkan kemalangan itu.
Menurut Mohamad Ridhuan, bagi pihak keluarganya, mereka reda dan mahu memandang positif kejadian tersebut malah tidak keberatan jika anaknya mahu meneruskan pengajian di UiTM Dungun.
“Ini hanya pandangan saya, jika orang normal tidak mungkin dia sesuka hati mahu melanggar orang sehingga menyebabkan kematian dan kita tidak berada di tempat mereka.
“Perancangan saya kini mahu membawa Muhammad Ammar Danish pulang ke rumah kami di Keramat, Kuala Lumpur dahulu untuk memantau keadaannya dengan lebih rapi,” katanya. – UTUSAN