Sebanyak 6,617 BEV telah terjual separuh pertama 2024 

Sebanyak 6,617 BEV telah terjual separuh pertama 2024 

ZAFRUL Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) pada majlis pelancaran model Leapmotor C10 SUV di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,617 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah dijual pada separuh pertama tahun 2024, mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 112 peratus, berbanding 3,117 unit BEV bagi tempoh yang sama 2023. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka ini membawa lebih dekat kepada sasaran untuk mempunyai 20 peratus daripada jumlah volum industri (TIV) terdiri daripada kenderaan elektrik (EV). 

“Setakat 30 September 2024, lebih daripada 3,171 stesen pengecasan telah dipasang di seluruh negara dengan 813 daripadanya adalah pengecas cepat arus terus (DC). 

“Kami berharap dapat mencapai sasaran 10,000 stesen pengecasan menjelang akhir 2025

“Selain itu, setakat separuh pertama 2024, Malaysia kini mempunyai lebih daripada 31,447 BEV di jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran model Leapmotor C10 di  Tun Razak Exchange (TRX) sini hari ini.

Menurut beliau, ini menyaksikan peningkatan ketara dalam pasaran EV iaitu melonjak sebanyak 112 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Pertumbuhan yang mengagumkan ini membuktikan permintaan terhadap EV dalam kalangan pengguna di Malaysia semakin meningkat,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata, industri automotif di Malaysia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi, menyumbang empat hingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyokong lebih 700,000 pekerjaan. 

“Pada tahun 2023, nilai import sektor ini mencapai RM62.14 bilion, dengan RM37.15 bilion dikaitkan dengan  komponen dan alat ganti automotif. Dari segi eksport, sektor mencatatkan nilai sebanyak RM18.01 bilion.

“Ketidakseimbangan perdagangan ini telah menyebabkan defisit dalam sektor tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pengumuman Stellantis untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau di bawah strategi ‘Dibina di Asean untuk Asean’ dijangka akan meningkatkan pemindahan teknologi dan memperkukuh eksport, seterusnya menguatkan industri.

“Stellantis, pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia dan dan perintis penyedia penyelesaian mobiliti mampan dilihat terus mempercepatkan peralihan tenaga ke arah elektrifikasi di Malaysia apabila melancarkan Leapmotor, satu jenama EV di bawah portfolionya,” katanya. 

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Leapmotor C10 menawarkan harga permulaan RM149,000 sehingga 30 November ini dan harga selepas itu adalah RM159,000. 

Tengku Zafrul berkata, kerjasama di antara Stellantis dan Leapmotor bukan sekadar melancarkan EV baharu, malah ia turut menyokong matlamat reformasi industri negara dari segi inovasi, kelestarian dan daya saing dalam sektor automotif di dalam Dasar Automotif Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Keputusan Stellantis untuk memperkenalkan Leapmotor C10 ke pasaran Malaysia juga mampu meningkatkan keupayaan dan kewujudan Malaysia di rantau ini. Pada masa sama mengukuhkan posisi negara dalam industri automotif global,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Stellantis Asean, Daniel Gonzalez berkata, Malaysia merupakan satu pasaran penting buat Stellantis dan negara ini dipilih sebagai pasaran pertama untuk Leapmotor di rantau ini kerana wujud permintaan yang kukuh terhadap EV.

“Bukan itu sahaja, pihak MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memberi sokongan padu dalam memacu peralihan kepada kenderaan tenaga baharu (NEV) menerusi pelbagai insentif demi mencapai matlamat sifar emisi menjelang tahun 2050. 

“Memandangkan Leapmotor kini menjadi sebahagian daripada tawaran Stellantis di Malaysia, kami ingin membawakan teknologi tercanggih EV kepada para penguna, seterusnya dapat menyumbang ke arah matlamat negara mencapai jualan 15 peratus model EV dan hibrid dalam TIV menjelang tahun 2030,” katanya. 

Stellantis juga mengumumkan pelan masa depan di Malaysia, termasuk pemasangan tempatan kenderaan pelbagai jenama Stellantis di kilang Gurun, Kedah bagi memenuhi keperluan pasaran di rantau Asean.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya