KUALA LUMPUR: Kerap menggayakan jenama antarabangsa, pasangan selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari mahu kekalkan identiti eksklusif dalam jenama tempatan.
Pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean, 41, berkata, dia dan Awal hanya menggayakan baju daripada jenama antarabangsa atas tuntutan kerja sahaja hakikatnya mereka lebih selesa tampil dengan fesyen yang santai.
“Orang yang kenal saya, tahu bila saya memakai pakaian berjenama antarabangsa itu adalah kerja. Tapi pakaian harian saya sangat minimalis dan santai macam pakai t-shirt dan jeans. Di luar waktu bekerja, saya seorang yang biasa saja.
“Bagi saya, bagus juga kami dapat tampil dengan fesyen jenama antarabangsa dan tempatan sebab dalam bidang ini juga banyak kategori. Saya anggap benda itu adalah situasi menang-menang kerana kita tidak ketepikan jenama tempatan.
“Kami hanya perlu tahu bagaimana nak naikkan jenama diri kami ketika menggayakan jenama tempatan supaya nampak kemas, tersusun dan tidak cacar marba,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Scha berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi baju jenama Kita & Co x SchAwal Capsule Collection di Mimpikita TRX Mall, Isnin lalu.
Dalam masa sama, Awal berkata dia terbuka dengan persepsi masyarakat yang sering menganggap mereka sering menggayakan fesyen yang eksklusif secara tidak langsung dapat membantu menaikkan jenama tempatan.
“Bagus ada persepsi begitu supaya bila kita tonjolkan jenama tempatan sekali-sekala seperti ini secara tak langsung dia beri impak eksklusif kepada jenama tersebut.
“Saya tidak nafikan bila kita bekerja dengan jenama antarabangsa, orang anggap kita selalu pakai pakaian yang mahal. Tapi, kalau tengok pakaian harian kami bukannya berjenama, ada juga kami pakai baju jenama mampu milik dan tiada jenama.
“Kadang-kadang bukan kita taknak, tapi design tempatan sangat terhad dan terlalu tradisional. Betul, kita ada batik dan sebagainya, tapi pada hari biasa kita nak pakai sesuatu yang relaks dan polos.
“Dengan ada design tempatan yang menepati citarasa kami dan trendy seperti ini buat kami lebih bersemangat nak ajak orang ramai menghargai jenama tempatan,” jelasnya. -UTUSAN