Saya tidak sangka pecah rekod 31 tahun - Zaidatul - Utusan Malaysia

Saya tidak sangka pecah rekod 31 tahun – Zaidatul

Zaidatul Husniah Zulkifli (kanan) tiba di garisan penamat dalam acara 100 meter Kejohanan Terbuka Perlis Super Series di Kangar, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli tidak menyangka dapat memecah rekod 100 meter yang bertahan selama 31 tahun selepas melakukan catatan 11.49 saat sekali gus memadam rekod lama 11.50s bekas pelari pecut kebangsaan G. Shanti di Kejohanan Terbuka Perlis Super Series, semalam.

Zaidatul sebelum ini pernah mengatasi rekod Shanti  di Afrika Selatan pada 2017 menerusi catatan 11.36 saat, namun atas alasan bantuan angin, catatan tersebut tidak diiktiraf.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaidatul berkata, dia tidak menyangka dapat membuat catatan masa terpantas bagi memecahkan rekod kebangsaan itu berikutan hanya menumpukan kepada lariannya sahaja.  

“Saya hanya fokus kepada larian dan tidak meletakkan sasaran dalam kejohanan ini, namun tidak sangka berjaya memecahkan rekod kebangsaan selama 31 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, sebelum ini, dia pernah mencatat masa 11.36 saat sewaktu Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan pada 2017, namun keputusan itu tidak diiktiraf sebagai rekod baharu kebangsaan memandangkan pelari berkenaan mendapat bantuan angin 2.5s.

“Persediaan untuk memecahkan rekod ini sebenarnya makan masa selama beberapa tahun dan akhirnya saya berjaya membuat catatan masa terbaik,” katanya. 

Dalam pada itu, Zaidatul yang turut dikenali sebagai adik berkata, dia amat teruja apabila dapat memecahkan rekod berkenaan tambahan pula usianya kini telah mencecah 31 tahun.

Tambahnya, dia juga berharap agar atlet lain tidak menjadikan umur sebagai penghalang untuk terus kekal cemerlang dalam sukan yang diwakili mereka.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan Perlis menjadi saksi kejayaan saya memecahkan rekod ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya