KUALA LUMPUR : Turut simpati dan tumpang bersedih dengan berita perceraian membabitkan beberapa pasangan selebriti popular tanah air, selebriti dan usahawan, Datuk Aliff Syukri, 37, menitip kata nasihat secara umum.
Menurut Aliff, dia juga percaya tiada pasangan yang berkahwin mahu bercerai selain yakin keputusan yang dilakukan mereka adalah jalan terbaik setelah memikirkan masak-masak.
“Bila saya tengok orang bercerai saya faham apa yang mereka rasa. Bukan senang menghadapi perceraian dan saya selalu mendoakan mereka.
“Saya tak boleh tengok orang bercerai, saya rasa sedih kerana saya yakin tiada seorang pun yang berkahwin mahu bercerai melainkan ia adalah jalan terakhir.
“Saya sendiri pun bila bergaduh dengan isteri, ramai yang tanya apa tips bertahan. Saya kawan satu sahaja, mak ayah saya bercerai. Jadi bila berkahwin saya tak ada pasang niat atau sebut perkataan bercerai,”katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi Tea Anthon’s Leather di One World Hotel, di sini, hari ini.
Selain iti, Aliff turut menasihatkan semua golongan wanita berstatus isteri supaya mencuba untuk berbaik dengan suami masing-masing demi keharmonian rumah tangga
“Saya nak nasihatkan para isteri semua, berbaiklah dengan suami anda. Rujuklah dengan mereka sebab saya dan isteri sendiri pernah hampir bercerai.
“Tapi saya nak ucapkan terima kasih pada isteri kerana selama 18 fahun berkahwin, Alhamdulillah walau berdepan dugaan dia sabar.
“Tetapi andai katalah isteri saya tiada, saya mungkin tak akan berkahwin lagi,”katanya.
Aliff mendirikan rumah tangga dengan Datin Nur Shahida Mohd Rashid pada 2007.
Pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah, Luqman Al Hakim selain turut menjaga seorang anak angkat.-UTUSAN