KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio, Haziq Hussni enggan mencampuri kemelut yang tercetus antara rakan penyampai, Elly Mazlein dan Jihan Muse.
Haziq atau Muhammad Haziq Irfan Hussni, 34, berkata, tidak timbul masalah antara dia dengan kedua-dua selebriti berkenaan, justeru berharap isu yang timbul dapat diselesaikan antara dua individu berkenaan.
“Saya ada berjumpa mereka berdua, kami bersembang seperti biasa tanpa bercakap mengenai isu tersebut.
“Ketika berjumpa Elly, dia sekadar bertanya saya okay atau tidak. Lagi pun Elly ada tag saya ketika menaikkan Instastory berkenaan tempoh hari. Saya pun tak tahu nak beri respon yang bagaimana.
“Kita biarkan mereka sendiri selesaikan masalah ini,” katanya.
Haziq berkata demikian etika ditemui pada sidang media program Borak SeeNI yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, pagi tadi.
Sementara itu, Haziq memaklumkan memilih untuk tidak mengulas panjang kontroversi berkenaan dan menganggap isu yang timbul antara dua selebriti tersebut tidak berkaitan dengannya.
“Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan mereka.
“Isu ini timbul ketika rakaman beberapa program tersebut beberapa minggu lalu. Tidak ada apa yang saya boleh jelaskan.
“Oleh itu, saya tak berani nak komen apa-apa tentang perkara ini. Saya hanya buat kerja saya,” katanya lagi.
Haziq dalam pada itu menerima kontroversi itu sebagai pengajaran untuknya yang masih mencari tapak dalam bidang pengacaraan.
“Saya masih baru dalam bidang ini. Apa yang berlaku ini saya anggap satu pengajaran untuk diri sendiri.
“Kalau tidak berlaku kepada kita mungkin berlaku kepada orang lain.
“Secara peribadi saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan mereka berdua,” katanya.
Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, baru-baru ini menempelak Haziq dan Jihan gara-gara jenaka berbaur sindiran yang didakwa ditujukan kepada pengacara tersebut ketika mengacarakan program The Chosen One yang disiarkan di saluran Astro Ceria.