KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha tegas menafikan dakwaan dirinya mengeluarkan kenyataan seperti melaga-lagakan dua rakan selebritinya, Fattah Amin dan Nur Fazura, baru-baru ini.
Menurut Fasha, dia lebih suka akan kedamaian malah menyifatkan Fazura dan Fattah mengenali dirinya yang tidak gemar melaga-lagakan mana-mana pihak.
“Tak adalah, Fazura dan Fattah tahu saya orang yang jenis bagaimana. Mereka tahu, adakah saya seorang yang suka melaga-lagakan ke, saya seorang yang suka bergaduh ke, atau seorang yang suka kedamaian.
“Saya orang yang suka kedamaian. Saya pun bukan muda lagi untuk ada banyak tenaga bagi bergaduh dengan orang. Saya suka kedamaian dan semua orang berdamai.
“Tak kisahlah, kalau bercerai atau apa, damai. Semua benda pun kita rasa macam nak hidup tenang. Saya rasa, baik Fazura, atau Fattah, kedua-dua mereka tahu saya orang bagaimana,” katanya.
Kekal tenang meskipun didakwa sedemikian, Fasha menyifatkan netizen bebas untuk berkata apa sahaja dalam memberi sebarang komen.
“Terpulanglah kepada netizen kerana mereka ada ruang dan hak untuk berkata-kata. Nak tutup mulut orang pun tak boleh,” katanya lagi.
Sebelum ini, Fasha pernah mengeluarkan kenyataan dan berkongsi pendapat mengenai rumah tangga serta mengingatkan para wanita untuk menghormati suami tanpa mengira taraf.
Fasha berkata, kenyataan tersebut merupakan pendapat peribadinya yang ditujukan kepada umum tanpa menyindir mana-mana pihak.
“Itu tak ada kaitan. Saya selalu menegaskan, saya cakap mengenai diri saya. Semua orang yang bercakap adalah mengenai diri sendiri walaupun kedengaran ada kaitan dengan orang lain.
“Saya tidak menyindir mana-mana pihak sebab semua sahabat saya dan saya tak menyebelahi mana-mana pun.
“Waktu itu, saya ditanya mengenai isu umum dalam perkahwinan. Jadi, saya bercakap mengenai diri saya dan tak ada kaitan dengan apa yang berlaku kepada orang lain. Semua sahabat, jadi kita doakan yang terbaik untuk mereka,” jelasnya.