'Saya rasa sedih, sebak ketika baca doa solat jenazah tiga pelajar UiTM' - Imam - Utusan Malaysia

‘Saya rasa sedih, sebak ketika baca doa solat jenazah tiga pelajar UiTM’ – Imam

MD. Tukirin Saringat (kanan) menahan sebak ketika menuntut jenazah anaknya, Muhammad Akmal di Unit Forensik Hospital Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Imam Pusat Hidayah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun mengakui tidak mampu menahan rasa sedih dan sebak ketika membacakan doa ketika mengetuai solat jenazah bagi tiga penuntut UiTM itu yang maut dalam nahas jalan raya di hadapan universiti itu, di sini, semalam

Muhammad Adam Ali berkata, sepanjang 10 tahun menjadi imam, ini merupakan kali pertama dia mengetuai solat jenazah yang disertai lebih 1,000 jemaah dalam suasana yang hiba.

“Tragedi ini memang memberi kesan kepada semua warga UiTM di sini. Saya juga sebak mengenangkan ketiga-tiga mangsa yang sebaya dengan anak-anak saya.

“Ketika solat jenazah, timbul rasa sebak dan sedih memikirkan tragedi yang menimpa mangsa,” katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat jenazah tiga pelajar tersebut di sini, hari ini.

Muhammad Adam berkata, dia berharap perjalanan akhir ketiga-tiga jenazah ke tanah perkuburan di kampung halaman masing-masing berjalan lancar.

“Saya juga berharap ahli keluarga mangsa dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Sementara itu, bapa salah seorang mangsa, Md. Tukirin Saringat, 61, juga dilihat tidak mampu menahan sebak ketika menuntut jenazah anaknya, Muhammad Akmal, 20.

“Saya tidak menyangka, dua bulan lalu ketika anak saya menghabiskan cuti semesternya adalah detik-detik terakhir kami bersama-sama. Saya sempat menghantar anak saya pulang ke kampus pada Sabtu lalu. Itu kali terakhir saya bertemu dengannya.

“Saya juga mengharapkan keadilan untuk arwah anak saya dan rakan-rakannya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan di Kampung Sura Hujung, malam tadi.

Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam, Muar, Johor.

Jenazah Khairil Anwar Jamaludin, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN