NAMA Syazwan Shuhaimi masih kedengaran asing meskipun penyanyi berbakat besar ini sudah muncul dengan beberapa single antaranya Sang Purnama dan Cinta Ke Syurga.
Ada penyanyi, yang sekelip mata namanya meledak lebih-lebih lagi apabila berpeluang membawakan lagu-lagu berhantu yang cepat menangkap jiwa pendengar.
Manakala ada juga penyanyi yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum nama mereka menonjol dan diterima baik peminat.
Jejaka berkulit putih melepak ini bagaimanapun percaya kepada rezeki yang telah ditentukan Allah S.W.T. Baginya, biarlah masa yang menentukan perjalanan karier nyanyiannya.
“Saya tak pernah putus asa dalam bidang nyanyian walau pun nama masih belum dikenali. Saya suka pada bidang ini.
“Walaupun lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio, maklum balas pendengar, yang mendengar di Youtube dan media sosial, tetap positif. Jadi, mahu dikatakan belum ada lagu yang ‘menyengat’ , mungkin tidak.
“Apa pun saya percaya pada rezeki. Ada juga penyanyi yang mengambil bertahun-tahun untuk membina nama. Contoh seperti Ernie Zakri atau Marsha Milan.
“Jadi saya percaya, masa saya mungkin belum sampai. Tapi saya tidak akan mengalah dan teruskan apa yang telah saya mulakan,” katanya.
Amat rugi jika bakat sebaik Syazwan tidak diketengahkan sebaiknya. Jejaka asal Kuala Lumpur ini tetap menyimpan harapan agar kebolehannya lebih dipandang pencinta muzik tanah air.
“Banyak faktor yang memungkinkan saya masih belum dikenali. Pendedahan mungkin masih kurang.
“Apa pun saya sentiada mengharapkan agar diberi peluang untuk lebih kerap muncul di kaca televisyen mahu pun tawaran membuat persembahan dalam festival muzik dan sebagainya,” katanya lagi
TIDAK TUMPANG POPULAR
Ramai yang tidak mengetahui bahawa Syazwan merupakan adik kepada pelakon, Eira Syazira dan adik ipar kepada penyampai radio, pelakon dan pelawak terkenal Azad Jazmin atau Pak Azad.
Namun, tidak sesekali pemuda ini merancang menggunakan populariti kakak dan abang iparnya sebagai batu loncatan untuk dikenali.
“Saya tetap percaya pada rezeki. Ada orang guna kabel pun tak jadi juga. Sebab masa mereka belum sampai.
“Saya tak nafikan, abang ipar dan kakak saya memang beri sokongan. Tapi saya tak pernah mahu tumpang populariti mereka.
“Bahkan masih ramai yang tak tahu saya ada hubungan kekeluargaan dengan mereka.
RANCANG BERGERAK SENDIRI
Bakal menamatkan kontrak bersama syarikat Rocketfuel Entertainment sekitar penghujung Oktober ini, Syazwan memilih untuk bergerak dan menguruskan sendiri perjalanan kerjayanya selepas ini.
“Mungkin saya cuba bergerak sendiri dahulu dalam empat hingga lima tahun. Tengok macam mana perancangan selepas ini.
“Untuk saya bernaung di bawah label agak sukar memandangkan saya ada kerja hakiki dan perniagaan yang perlu saya uruskan.
“Apa pun saya akan teruskan dalam bidang nyanyian dan akan umumkan projek atau lagu baharu menerusi media sosial,” kongsinya.