‘Saya mahu terus kekal bersama JDT’

‘Saya mahu terus kekal bersama JDT’

Arif Aiman Hanapi meraikan gol jaringan menentang Shanghai Shenhua FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, kelmarin. Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 3-0. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mahu terus kekal bermain dengan pasukan Harimau Selatan sepanjang karier­nya.

Pemain berusia 22 tahun itu mengakui mahu menikmati setiap minit permainan sama ada dalam pertandingan antarabangsa mahupun liga tempatan.

“Saya seronok dalam setiap perlawanan, bukan senang dapat peluang beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) melawan pasukan terbaik Asia.

“Tetapi saya tidak boleh bersikap sambil lewa, tidak boleh berasa terlalu selesa, sebaliknya akan terus bekerja keras setiap masa dan berikan yang terbaik dalam semua perlawanan.

“Saya ingin terus kekal bermain di kelab ini sampai bila-bila,” katanya selepas perlawanan kedua ACLE 2024/25 antara JDT menentang Shanghai Shenhua FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Arif Aiman menjaringkan gol pertama selain turut memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan 3-0 skuad Harimau Selatan.

Dia turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio kerana sentiasa memberi motivasi khususnya selepas mengalami kecederaan sebelum ini.

“Akibat kecederaan sebelum ini prestasi saya turun naik tetapi Pemangku Sultan Johor dan jurulatih banyak bantu menaikkan kembali semangat saya.

“Kemenangan hari ini untuk penyokong. Kita hargai mereka datang ke stadium dan kami mahu berikan persembahan terbaik, terima kasih semua,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan buku lali.

Sementara itu, Bidoglio mengakui berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya semasa menundukkan pasukan dari China itu.

“Kami bermain dengan baik, kerjasama antara pasukan juga baik sehingga berjaya mewujudkan banyak peluang jaringan. Saya sangat gembira dengan persembahan mereka sepanjang perlawanan ini.

“Kami sedar setiap perlawanan dan setiap kemenangan adalah penting, sama ada melibatkan pertandingan antarabangsa mahupun liga tempatan. Jadi kami akan terus lakukan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya