Saya mahu lihat anak saya membesar depan mata - Mira Filzah - Utusan Malaysia

Saya mahu lihat anak saya membesar depan mata – Mira Filzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON, Mira Filzah mungkin sudah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk kembali aktif berlakon.  

Keinginan pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini untuk ‘pulang’ ke dalam bidang yang dicintainya masih menebal.

Mira bagaimanapun maklum, sebagai seorang ibu dan isteri, ada banyak had dan kekangan yang perlu dia akur. Tetapi, keadaan itu tidak sedikit pun menghalang ibu seorang cahaya mata ini untuk kembali berlakon.

“Keadaan sudah berubah. Kalau dulu, saya belum berkahwin. Jadi bolehlah saya terima banyak tawaran (berlakon). Sekarang, selepas berumah tangga banyak hal yang perlu saya pertimbangkan.

“Bila berlakon, banyak masa kita luangkan di set penggambaran. Jadual kerja pelakon juga tidak menentu. Ada masa, pulang lewat malam atau awal pagi.

“Sebagai ibu, saya ingin melihat anak saya membesar depan mata. Mahu dengar perkataan atau lihat langkah pertamanya dan ingin hantar mereka pergi dan pulang sekolah. 

“Tapi, itu tidak menghalang saya kembali aktif berlakon. Apa yang saya perlukan adalah keseimbangan masa, untuk kerja dan keluarga. Jadi, saya harus pandai membahagikan (masa),” katanya. 

Mira berkata demikian ketika ditemui sewaktu sidang media drama bersiri Hikayat Bawang Putih Bawang Merah baru-baru ini. 

Pelakon berusia 31 tahun ini  mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar pada tahun 2020. 

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Khair Amir. 

Tahun lepas, Mira memutuskan untuk kembali berlakon selepas anaknya memasuki usia lapan bulan.

Ditanya mengenai perancangan menambah cahaya mata, aktres berbakat besar ini memaklumkan tidak tergesa-gesa untuk menimang anak kedua. 

“Perancangan memang ada. Usia anak sulung tahun hadapan bakal mencecah tiga tahun. Nampaklah dia suka berkawan. 

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, adalah cahaya mata kedua,” katanya.

WATAK SESUAI IMEJ BERTUDUNG

Tidak keterlaluan kalau saya sifatkan Mira Filzah sebagai pelakon yang terlalu sinonim dengan watak protagonis.

Ini kerana kebanyakan watak yang dibawakannya menampilkan imej bersih, baik dan disenangi.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini sebenarnya tidak pernah menghadkan kemampuan lakonannya. Mira tahu dia pelakon serba boleh, berkemampuan bawakan watak lain termasuk antagonis.

“Memang kebanyakan tawaran yang diberikan kepada saya adalah watak protagonis ataupun bersih. 

“Penerbit atau pengarah lebih arif menilai kesesuaian pelakon dengan satu-satu watak. Jadi saya tidak boleh demanding.

“Saya tidak ada masalah untuk melakonkan watak antagonis. Saya tak akan menolak kalau diberi peluang. Tetapi, biarlah watak itu bersesuaian dengan imej saya yang bertudung,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya