Saya mahu akaun bank saya dipantau - Najib

Saya mahu akaun bank saya dipantau – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak `mendedahkan’ perihal kemasukan derma Arab ke dalam akaun peribadinya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan akaun-akaun terbabit dipantau oleh bank pusat itu.

Ujarnya, sebagai pelanggan, adalah sukar untuknya mengetahui sumber asal sesuatu dana dan perlu bergantung kepada AmBank dan BNM berhubung perkara itu.

“Saya ingin akaun (bank) saya dipantau oleh BNM bagi memastikan tidak apa yang tidak diingini berlaku. Sebagai pelanggan saya tidak mempunyai akses untuk mengetahui sumber dana, oleh sebab itu saya bergantung pada AmBank dan BNM,” katanya.

Terdahulu, Najib memberitahu, beliau memaklumkan kepada bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang mengenai derma daripada Raja Abdullah dan meminta lelaki berkenaan memberitahu Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib juga memaklumkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai tindakan AmBank memaklumkan BNM mengenai kemasukan wang derma tersebut.

Dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib, Zeti ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-46 berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan AmBank tidak pernah merujuk tiga keping surat berhubung derma Arab AS$100 juta kepada BNM.

Sebaliknya surat-surat itu hanya ditemukan sewaktu serbuan BNM di bank berkenaan pada 6 Julai 2015.

Selain itu, Najib menyatakan bahawa beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB atau anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd. kerana tidak mahu dianggap mengganggu siasatan atau campur tangan.

“Tidak perlu (buat laporan polis). Saya sangat risau ketika itu kerana pada ketika itu, 1MDB sedang disiasat termasuk dengan SRC International. Saya juga sedang disiasat ketika itu, pihak berkuasa datang ke pejabat saya untuk soal siasat saya.

“Disebabkan saya sendiri sedang disiasat, adalah tidak wajar untuk saya membuat laporan polis, bertanya mengenai status siasatan atau status untuk mendapatkan kembali wang (yang dilaburkan ke luar negara). Saya tidak mahu dianggap sedang melakukan jenayah,” katanya.

Menjawab pertanyaan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung tindakan yang menjurus kepada perbuatan jenayah itu, Najib berkata: “Salah guna kuasa dan campur tangan siasatan.”

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam tindakan saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 29 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya