KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Nadia Brian mengejutkan ramai pihak selepas berkongsi wajahnya yang mengalami lebam pada bahagian mata.
Nadia berkongsi perkara itu ketika memuat naik video di Instagram Story dan menjelaskan dirinya terjatuh sehingga menyebabkan bahagian tersebut terkena kerusi.
“Ada sesuatu perkara yang tidak disengajakan berlaku. Saya terjatuh dan terkena kerusi. Jadi mata saya lebam sudah seminggu. Alhamdulillah, mata saya makin okay dan ambil masa untuk pulih,” katanya.
Dalam perkongsian lain, pelakon yang membintangi drama Lelaki Itu turut memberitahu insiden tersebut merupakan pengajaran terbesar buatnya supaya menjaga waktu makan dengan betul.
“Kepada mereka yang bimbang dengan keadaan saya, Insya-Allah dan Alhamdulillah saya sudah okay. Saya dah pergi ke klinik cuma itulah pengajaran untuk diri sendiri, kena makan tepat pada waktunya.
“Jangan nak ‘crash diet’ sangat sampai pening dan jatuh. Doakan saya cepat baik. Saya ada banyak kerja yang nak kena siapkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon wanita itu turut memuat naik perkongsian gambar terkininya di aplikasi Threads ketika menjalani sesi rawatan akupuntur.
Kata Nadia, dia perlu menjalani rawatan itu demi meredakan rona lebam pada wajahnya dengan cepat kerana mempunyai tuntutan kerja.
“Harap semua lebam ini dapat hilang dengan cepat. Kena kerja dah ni. Banyak komitment. Insya-Allah, saya boleh buat,” katanya di platform Threads.
Bagaimanapun, Nadia tegas menafikan matanya lebam berpunca daripada ditumbuk oleh seseorang malah dia juga sempat berterima kasih kepada peminat yang mendoakannya.
“Tak, saya tak kena tumbuk. Kalau ya, takkanlah saya nak diam saja. Sudah tentu saya akan balas balik dan mungkin lagi teruk orang itu kena. Saya terjatuh dan terkena kerusi
“Terima kasih sebab risau dan ambil berat pasal saya. Sayang korang okey,” jelasnya. -UTUSAN