Saya ada penyesalan tertentu berhubung operasi SRC - Najib

Saya ada penyesalan tertentu berhubung operasi SRC – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekiranya dilihat semula, terdapat beberapa perkara yang dikesalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung operasi SRC International Sdn. Bhd. sehingga membawa kepada kerugian syarikat itu.

Bagaimanapun, pada ketika itu, Najib berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau maklumat mengenai perkara yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Saya mempunyai penyesalan tertentu tetapi berdasarkan kepada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat (mengenai apa yang berlaku),” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam-peguam syarikat itu, Kwan Wil Sen bahawa beliau yang menyebabkan SRC International gagal dan menanggung kerugian AS$1.18 bilion sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse.

Wil Sen: Bagi seseorang yang mempunyai kuasa besar, anda akan bersetuju bahawa terdapat tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakannya atau memanfaatkan secara peribadi?

Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju sebagai Menteri Kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti.

Wil Sen: Berkenaan dengan semua perkara yang berlaku dalam SRC, adakah anda mengambil sebarang tanggungjawab atau sebahagian daripadanya? 

Najib: Ia bergantung kepada sama ada saya bertanggungjawab. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai aliran dana dan saya tidak pernah membenarkan ia ke dalam akaun saya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus serta pemegang saham tunggal SRC International berkata demikian ketika disoal balas dalam perbicaraan kes saman sivil itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 8 Mei lalu, bekas Pengarah SRC Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, yang dinamakan sebagai responden pihak ketiga dalam kes saman itu berkata, syarikat tidak akan mengalami kerugian jika Najib bertindak selaras dengan nasihat Lembaga Pengarah (BOD) syarikat itu.

Che Abdullah dalam keterangan beliau berkata, ia kerana operasi syarikat berkenaan sedikit luar biasa jika dibandingkan dengan syarikat tersenarai awam lain kerana pada akhirnya keputusan akan dibuat oleh Perdana Menteri.

Selain itu, pada Mac lalu, Barkhouse memberitahu mahkamah, Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, iaitu dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC International daripada KWAP.

Saksi kedua dalam kes saman dikemukakan SRC itu berkata, semua dana berkenaan diterima Najib daripada syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd, iaitu AS$70 juta pada 29 Disember 2011, dan masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012. 

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam tindakan saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahguna kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 21 Oktober ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya